Sapu darah haid pada wajah demi kulit berseri kini jadi trend

Sapu darah haid pada wajah demi kulit berseri kini jadi trend

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Satu trend kecantikan pelik kembali tular dalam media sosial apabila segelintir wanita menyapu darah haid pada wajah kononnya untuk mendapatkan kulit berseri.

Ada yang menganggap amalan itu sebagai ritual spiritual atau bentuk pemerkasaan diri dengan menghubungkan diri kepada ‘tenaga feminin’.

Tidak kurang juga yang membandingkannya dengan ‘vampire facial’ yang dipopularkan Kim Kardashian, iaitu rawatan dengan pakar dermatologi menyuntik plasma kaya platelet (PRP) ke dalam kulit bagi merangsang kolagen dan mengurangkan tanda penuaan.

Dengan lebih 3.5 juta carian di TikTok, ‘menstrual masking’ menarik perhatian ramai. Namun persoalan utama timbul iaitu adakah wujud bukti saintifik yang menyokong penggunaan darah haid sebagai rawatan kulit?

Darah haid mengandungi campuran tisu dari lapisan rahim (endometrium), darah yang mengalir serta cecair faraj. Lapisan endometrium yang tertanggal setiap kitaran akan tumbuh semula melalui proses yang digerakkan oleh sel stem, yang menarik minat penyelidik perubatan.

Beberapa kajian perubatan menunjukkan potensi sel stem daripada darah haid dalam penyembuhan luka. Sebuah kajian pada 2018 mendapati luka yang dirawat dengan plasma haid pulih sepenuhnya dalam masa 24 jam, berbanding hanya 40 peratus pemulihan menggunakan plasma darah biasa.

Kajian lain dalam World Journal of Plastic Surgery menyimpulkan sel stem daripada darah haid berpotensi menjadi sumber sel yang sesuai untuk merawat penyakit kulit dan penuaan akibat pendedahan matahari jangka panjang.

Disebabkan ia serba guna dan boleh dikumpul tanpa prosedur invasif, sel stem daripada darah haid dikenali sebagai MenSCs kini dikaji sebagai rawatan berpotensi untuk luka kronik.

Namun begitu, pakar dermatologi tetap skeptikal terhadap penggunaan darah haid yang dikumpul sendiri di rumah sebagai masker wajah.

Ini kerana darah haid turut mengandungi sel epitelium pro-radang yang menghasilkan sitokin dan kemokin, yang boleh menyebabkan iritasi sekali gus memberi kesan bertentangan dengan apa yang diharapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN