KUALA LUMPUR: Seramai 21,585 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di 165 pusat peperiksaan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Megat Affandi Ismail berkata, kesemua calon tersebut akan memulakan peperiksaan tersebut pada hari ini di 165 pusat peperiksaan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya,secara keseluruhan, terdapat seramai 21,585 calon yang terdiri daripada 16,197 calon sekolah kerajaan, 237 orang calon sekolah agensi kerajaan, 2,672 calon sekolah swasta dan 2,479 calon persendirian telah mendaftar untuk menduduki SPM 2025.
“Oleh itu, JPWPKL telah menyediakan seramai 2,077 orang petugas peperiksaan serta 296 orang Sukarelawan Pengawas Peperiksaan bukan dalam kalangan penjawat awam telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyantuni calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas di sini hari ini.
Megat turut menyatakan bahawa terdapat176 calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) daripada tujuh kategori menduduki SPM di Kuala Lumpur hari ini.
“Kategori tersebut merangkumi calon Kurang Upaya Fizikal, Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan (buta dan rabun) serta Kurang Upaya Pertuturan.
“Turut terlibat ialah calon Kurang Upaya Pelbagai dan mereka dalam kategori Masalah Pembelajaran yang disediakan kemudahan sokongan mengikut garis panduan peperiksaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan calon agar mematuhi arahan pengawas untuk mengelakkan kesilapan teknikal sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Diharapkan calon membawa dokumen pengenalan diri dan merujuk jadual waktu agar hadir mengikut masa yang ditetapkan dan mengekalkan disiplin agar calon memperoleh kejayaan dengan cemerlang,” katanya. – UTUSAN










