KHARTOUM: Pasukan separa tentera Sudan, Rapid Support Forces (RSF) bersetuju dengan cadangan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa kuasa Arab untuk melaksanakan jeda kemanusiaan serta mengadakan rundingan bagi menghentikan konflik bersenjata yang berlarutan lebih dua tahun.
Dalam kenyataannya, RSF menantikan pelaksanaan perjanjian itu dan bersedia memulakan rundingan segera mengenai pengaturan penghentian permusuhan serta prinsip asas proses politik di Sudan.
Namun, tentera Sudan menolak cadangan tersebut dengan menyatakan RSF akan ‘memperoleh kelebihan’ jika jeda kemanusiaan dilaksanakan.
Perang antara RSF dan tentera Sudan yang bermula pada April 2023 tercetus apabila kedua-dua pihak yang ketika itu berkongsi kuasa, bertelagah mengenai rancangan penggabungan pasukan.
Konflik tersebut mengorbankan puluhan ribu nyawa, mencetuskan kebuluran di seluruh negara dan memaksa jutaan rakyat menjadi pelarian.
Kenyataan RSF dibuat kurang dua minggu selepas kumpulan itu menawan bandar El-Fasher di wilayah barat Darfur, kawasan yang kini dilanda kebuluran teruk.
Menurut saksi, RSF didakwa melakukan pembunuhan dan penculikan orang awam ketika dan selepas menawan bandar tersebut, termasuk melaksanakan hukuman mati tanpa perbicaraan, yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
Pemimpin RSF bagaimanapun menyeru anggotanya melindungi orang awam dan memberi amaran mana-mana pelanggaran hak asasi manusia akan dihukum.
Majlis Keselamatan dan Pertahanan Sudan yang diketuai tentera membincangkan cadangan gencatan senjata awal minggu ini, namun gagal mencapai kata putus.
Jurucakap Jabatan Negara AS memaklumkan Washington terus berhubung dengan kedua-dua pihak bagi memudahkan pelaksanaan gencatan senjata kemanusiaan tersebut.
“Kami mendesak kedua-dua pihak menyahut usaha yang diketuai AS ini bagi meredakan keganasan dan menghentikan penderitaan rakyat Sudan,” katanya.










