Rambut lurus, berkilat buat wanita kelihatan lebih muda, sihat dan menarik - Utusan Malaysia

Rambut lurus, berkilat buat wanita kelihatan lebih muda, sihat dan menarik

JENNIFER ANISTON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENNA: Satu kajian baharu mendapati rambut lurus dan berkilat menjadikan wanita kelihatan lebih muda, sihat dan menarik di mata orang lain.

Penyelidik dari Universiti Vienna mendapati gaya rambut memainkan peranan besar dalam cara seseorang dinilai oleh orang asing malah perubahan kecil seperti ketebalan, kepadatan dan gaya mampu mempengaruhi persepsi terhadap penampilan.

Penemuan ini juga mungkin menjelaskan mengapa selebriti seperti Kim Kardashian, Claudia Winkleman dan Jennifer Aniston cenderung mengekalkan gaya rambut yang licin dan terurus.

Dalam kajian itu, pasukan penyelidik menjalankan dua eksperimen menggunakan gambar seorang model wanita yang memakai pelbagai jenis rambut palsu semula jadi daripada rambut Caucasian dengan variasi warna, panjang dan gaya termasuk lurus dan kerinting.

Hasilnya, hampir semua peserta menilai rambut lurus dengan kilauan tinggi sebagai paling menarik dan muda, manakala rambut yang lebih kusam dianggap kurang sihat.

Dalam eksperimen pertama, penyelidik menyediakan 10 pasang rambut palsu dengan pelbagai kombinasi seperti perang neutral, pendek dan lurus, coklat gelap, pendek dan kerinting, serta coklat sederhana, panjang dan lurus. Setiap pasangan terdiri daripada satu versi berkilat tinggi dan satu lagi yang disembur dengan syampu kering bagi kelihatan lebih kusam.

Gambar belakang kepala model dengan 20 jenis rambut itu ditunjukkan kepada 1,500 wanita dari Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Sepanyol. Hampir dalam semua gaya, rambut berkilat dinilai lebih muda dan menarik dan dianggap paling sihat.

Kajian kedua pula mendapati rambut yang lurus dan licin dinilai jauh lebih muda, sihat dan menarik berbanding rambut kusut atau disikat tebal.

Kombinasi yang menerima penilaian tertinggi ialah rambut lurus, licin, berkilat dan berisipadu rendah, tidak kira sama ada berwarna gelap atau cerah namun rambut perang pendek mendapat markah tertinggi keseluruhan.

Menurut laporan yang diterbitkan dalam International Journal of Cosmetic Science, penyelidik menyimpulkan bahawa penjagaan dan penyelenggaraan rambut yang mengekalkan kelicinan serta kilauan boleh meningkatkan persepsi terhadap penampilan fizikal seseorang. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN