TORONTO: Kerajaan Quebec mengambil langkah lebih tegas terhadap amalan keagamaan di tempat awam dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang 9 yang antaranya melarang ibadah solat di institusi awam termasuk kolej dan universiti.
Larangan solat berjemaah di jalan raya dan taman awam juga tidak dibenarkan dengan denda sehingga C$1,125 (RM3,325) bagi mana-mana kumpulan yang melanggar peraturan.
Hanya acara pendek yang menerima kelulusan rasmi dikecualikan daripada larangan itu.
Langkah terbaharu ini menyusul selepas kerajaan pimpinan Coalition Avenir Québec (CAQ) menjadikan agenda sekularisme sebagai keutamaan, khususnya melalui Rang Undang-Undang 21 pada 2019 yang mengharamkan pemakaian simbol agama dalam kalangan beberapa kakitangan sektor awam.
CAQ kini merancang memperluaskan larangan tersebut kepada semua pekerja di pusat jagaan, institusi pengajian tinggi dan sekolah swasta, termasuk larangan penutup muka penuh terhadap pelajar dan kakitangan.
Menteri Sekularisme Quebec, Jean-François Roberge, mempertahankan langkah itu sebagai kesinambungan usaha menjadikan wilayah tersebut benar-benar sekular.
Beliau turut mengecam kewujudan bilik solat di institusi pendidikan yang disifatkan ‘bukan tempat ibadah’ serta mengkritik perhimpunan awam seperti protes Montreal4Palestine yang melibatkan solat di ruang awam. Quebec juga akan mengehadkan penyediaan makanan halal dan kosher di institusi kerajaan, dengan alasan ia selaras dengan prinsip kenetralan negara.
Bagaimanapun, peraturan baharu itu menerima tentangan hebat daripada komuniti Muslim dan kumpulan hak asasi.
Pelajar universiti menyifatkannya sebagai serangan peribadi terhadap komuniti mereka, sementara Majlis Nasional Muslim Kanada menuduh kerajaan Quebec mengamalkan ‘oportunisme politik’ yang hanya menggandakan perpecahan masyarakat.
Persidangan Uskup Katolik Quebec turut menolak rang undang-undang itu sebagai pelanggaran serius terhadap hak dan kebebasan rakyat.
Seperti Rang Undang-Undang 21, undang-undang baharu ini turut menggunakan klausa pengecualian bagi melindunginya daripada cabaran undang-undang di bawah Piagam Hak Asasi Kanada.










