Peru putus hubungan diplomatik dengan Mexico

Peru putus hubungan diplomatik dengan Mexico

Betssy Chavez (baju kelabu) diiringi anggota polis. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA: Kerajaan Peru me­mutuskan hubungan di­plomatik dengan Mexico selepas negara itu memberikan suaka politik kepada bekas Perdana Menteri Betssy Chavez yang disiasat berhubung cubaan rampasan kuasa oleh bekas Presiden Pedro Castillo pada tahun 2022.

“Kami terkejut dan kesal dengan berita Betssy Chavez yang didakwa menjadi rakan jenayah dalam cubaan rampasan kuasa oleh Pedro Castillo, diberikan suaka politik di Peru.

“Berdasarkan tindakan ini dan mengambil kira beberapa kali campur tangan yang dilakukan oleh pemimpin semasa dan terdahulu Mexico dalam hal ehwal dalaman Peru, kerajaan Peru memutuskan hubungan diplomatik dengan Mexico mulai hari ini (semalam),” kata Menteri Luar Peru, Hugo de Zela.

Castillo, bekas guru sekolah luar bandar dan pemimpin kesatuan sekerja yang digelar ‘presiden miskin pertama’ Peru, digulingkan Disember 2022 selepas beliau cuba membubarkan badan perundangan berikutan pertikaian politik yang berlarutan.

Hubungan antara Lima dan Mexico semakin tegang sejak penggulingan Castillo dengan Peru sebelum ini mengusir duta Mexico selepas negara itu memberikan suaka kepada isteri dan anak-anak bekas presiden tersebut.

Castillo ditangkap ketika perjalanan ke Kedutaan Mexico untuk memohon suaka dan kemudiannya didakwa bagi tuduhan pemberontakan serta penyalahgunaan kuasa. Chavez turut dituduh bersama beliau dan kedua-duanya dibicarakan Mac lalu.

Castillo ditahan sementara sejak pemecatannya, manakala Chavez dibebaskan dengan jaminan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN