BEIRUT: Pemimpin Hezbollah, Naim Qassem menegaskan kumpulannya berhak membalas pembunuhan komander kanan mereka, Haytham Ali Tabtabai, dalam serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut minggu lalu.
Qassem menyifatkan kejadian itu sebagai ‘pencerobohan terang-terangan dan jenayah kejam’ dan menegaskan kumpulannya akan menentukan masa sesuai untuk membalas serangan tersebut.
Ditanya mengenai kemungkinan perang baharu, Qassem berkata, kemungkinan itu ada.
Beliau tidak menjelaskan secara terperinci peranan Hezbollah sekiranya konflik tercetus, tetapi menggesa Lubnan menyediakan pelan pertahanan yang melibatkan tentera serta rakyatnya.
Pemimpin itu juga berharap lawatan Pope Leo ke Lubnan akan menyumbang kepada keamanan dan menghentikan pencerobohan Israel.
Qassem menegaskan Hezbollah mematuhi gencatan senjata November 2024 yang menamatkan lebih setahun pertempuran dengan Israel, dan menuntut agar serangan Israel dihentikan.
Tabtabai terbunuh ketika bermesyuarat bersama empat pembantu bagi merancang tindakan masa depan.
Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee mendakwa usaha tentera Lubnan merampas senjata Hezbollah “tidak mencukupi” dan menuduh kumpulan itu masih menyembunyikan simpanan senjata mereka.
Hezbollah menegaskan tidak akan melucutkan senjata selagi Israel melancarkan serangan ke wilayah Lubnan dan menempatkan pasukan di lima lokasi di selatan negara itu.
Israel dilaporkan melakukan serangan hampir setiap hari di selatan Lubnan serta beberapa kali di Beirut, selepas ibu kota itu tidak diserang selama beberapa bulan sebelum pembunuhan Tabtabai.
Dalam serangan berasingan minggu lalu, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas kem pelarian Palestin di selatan Lubnan, menurut Kementerian Kesihatan Awam Lubnan.










