GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran jutaan pelarian di seluruh dunia kini terperangkap dalam kitaran ganas akibat konflik dan perubahan iklim, sambil menggesa sidang kemuncak COP30 agar memberi tumpuan kepada pembiayaan bagi membantu golongan paling terdedah.
Menurut laporan Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), dalam tempoh 15 tahun akan datang, hampir separuh daripada lokasi yang kini menempatkan pelarian dunia berisiko tinggi berdepan kejutan berkaitan iklim seperti kemarau, banjir dan gelombang haba melampau.
Agensi itu menjelaskan perubahan iklim bukan sahaja memperburuk kerentanan sedia ada, malah menjadi punca baharu kepada trend perpindahan penduduk di seluruh dunia.
UNHCR turut mendedahkan menjelang pertengahan 2025, kira-kira 117 juta individu telah dipindahkan akibat peperangan, keganasan dan penindasan.
Daripada jumlah itu, tiga daripada empat orang tinggal di negara yang terdedah kepada bahaya iklim pada tahap tinggi hingga melampau. Sepanjang sedekad lalu, bencana berkaitan cuaca turut menyebabkan lebih 250 juta perpindahan dalaman di pelbagai negara.
Ketua UNHCR, Filippo Grandi, berkata pelarian kini berdepan penderitaan berulang apabila cuaca ekstrem terus memusnahkan rumah dan sumber pendapatan mereka.
“Ramai daripada mereka telah melarikan diri daripada keganasan, namun terpaksa berpindah semula akibat kemarau, banjir dan gelombang haba yang semakin teruk,” katanya sambil menambah bahawa golongan ini memiliki sumber paling sedikit untuk memulihkan kehidupan mereka.
Laporan itu menjangkakan menjelang 2050, 15 kem pelarian paling panas di dunia, termasuk di Gambia, Eritrea, Ethiopia, Senegal dan Mali, bakal mengalami hampir 200 hari tekanan haba berbahaya setiap tahun.
UNHCR memberi amaran banyak kawasan tersebut berisiko menjadi tidak lagi sesuai didiami akibat kombinasi maut antara suhu melampau dan kelembapan tinggi.
Dalam pada itu, laporan sama menjangka jumlah negara yang terdedah secara melampau kepada bahaya iklim akan meningkat daripada tiga kepada 65 menjelang tahun 2040.
Negara-negara tersebut kini menempatkan lebih 45 peratus daripada keseluruhan populasi dunia yang dipindahkan akibat konflik bersenjata.
UNHCR turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengurangan dana antarabangsa selepas Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump memotong bantuan luar negara yang sebelum ini merangkumi lebih 40 peratus bajet agensi itu.










