Pelarian Sudan redah padang pasir 11 hari untuk ke Chad

Pelarian Sudan redah padang pasir 11 hari untuk ke Chad

PELARIAN Sudan mengisi air di dalam bekas di kem transit di Tine, Chad. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINE, Chad: Di sebalik solidariti besar-besaran terhadap rakyat Palestin, penderitaan penduduk Sudan yang melarikan diri dari konflik El-Fasher terus tenggelam tanpa perhatian dunia.

Serangan demi serangan, termasuk kekejaman terhadap orang awam dan pembunuhan beramai-ramai memaksa puluhan ribu penduduk menyeberangi padang pasir menuju Chad dalam keadaan yang amat memilukan.

Bagi Mounir Abderahmane, 16, perjalanan 11 hari ke Kem Tine bukan sekadar untuk menyelamatkan diri, tetapi lari daripada kekejaman yang dilihat sendiri di Hospital Saudi, tempat ayahnya dirawat.

Katanya, tujuh jururawat ditembak mati dalam satu bilik, sehingga darah mengalir keluar dari bawah pintu, namun insiden itu tidak mendapat liputan meluas media global berbanding perang Gaza.

Bapanya meninggal dalam perjalanan dan tentera separa Sudan, RSF yang dituduh melakukan kekejaman etnik sejak zaman Janjaweed, kini terus mengasak El-Fasher selepas pengepungan 18 bulan.

Walaupun rekod kekejaman RSF sudah lama diketahui, serangan mereka jarang menjadi tajuk utama antarabangsa, menimbulkan persoalan mengapa nasib rakyat Sudan diterima sebagai ‘krisis senyap’.

Pelarian seperti Hamid Souleymane Chogar pula menyifatkan bandar itu sebagai medan maut dengan mayat bertambah setiap kali dia keluar dari tempat persembunyian.

Mahamat Ahmat Abdelkerim, 53, pula mendedahkan bagaimana dia menemukan 10 mayat dalam sebuah rumah, dengan darah masih mengalir dari tubuh mereka.

Insiden memilukan turut dialami Mouna Mahamat Oumour yang menyaksikan tubuh ibu saudaranya hancur selepas terkena peluru dengan pelarian lain terpaksa meredah parit dipenuhi mayat demi keluar dari bandar yang terkepung.

Lebih menyedihkan, pelarian turut berdepan pemerasan dan rogol di sekatan jalan raya, selain perlu membayar antara AS$800 (RM3,306) hingga AS$1,600 (RM6,612) kepada RSF jika mahu ‘keluar dengan selamat’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×