Obama mahu jadi penasihat Zohran Mamdani

Obama mahu jadi penasihat Zohran Mamdani

ZOHRAN MAMDANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menghubungi calon Datuk Bandar New York daripada Parti Demokrat, Zohran Mamdani bagi menyatakan sokongan dan menawarkan dirinya sebagai ‘penasihat tidak rasmi’ sekiranya Mamdani memenangi pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.

Menurut The New York Times, Obama memuji pendekatan kempen Mamdani yang segar dan berani menentang dua pencabar utamanya, bekas Gabenor New York Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa.

“Mamdani menghargai kata-kata semangat Obama serta perbincangan mereka mengenai pentingnya membawa politik baharu ke kota ini,” kata jurucakapnya, Dora Pekec.

Mamdani yang berasal dari Uganda dan kini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri New York mendahului saingan dengan 40 peratus sokongan, berbanding Cuomo 34 peratus dan Sliwa 24 peratus, menurut tinjauan Atlas.

Kemenangan mengejut Mamdani dalam pemilihan parti pada Jun lalu mengubah landskap politik bandar raya itu.

Beliau turut menerima sokongan daripada tokoh-tokoh besar Demokrat termasuk bekas Naib Presiden Kamala Harris.

Calon berhaluan sosialis demokratik itu memperjuangkan dasar menaikkan cukai terhadap golongan kaya, mengekang kadar sewa rumah terkawal, dan memperluas perumahan awam bersubsidi.

Namun, dasar berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti perniagaan yang mendakwa ia boleh menjejaskan daya saing ekonomi bandar New York sebagai pusat kewangan utama dunia.

Walaupun pendekatannya mendapat sambutan hangat daripada golongan muda dan pengundi progresif, pandangan kritikal Mamdani terhadap Israel serta ideologi sosialisnya boleh memberi kesan kepada imej Parti Demokrat di peringkat nasional, yang kini berdepan tekanan daripada serangan politik Parti Republikan.

Obama yang kini aktif membantu calon-calon Demokrat di seluruh negara, turut menghadiri beberapa perhimpunan politik hujung minggu lalu di New Jersey dan Virginia bagi memberi sokongan kepada calon gabenor parti berkenaan yang berdepan saingan sengit menjelang pilihan raya negeri masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×