Netanyahu tidak kisah jika tiada normalisasi dengan Arab Saudi

Netanyahu tidak kisah jika tiada normalisasi dengan Arab Saudi

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkeras tiada negara Palestin akan diwujudkan, meskipun pendirian itu boleh menjejaskan usaha normalisasi dengan Arab Saudi.

Dalam satu temu bual de­ngan saluran Telegram Abu Ali Express, Netanyahu menyifatkan pembentukan negara Palestin sebagai ‘ancaman kewujudan’ terhadap Israel dan berjanji ia tidak akan berlaku sama sekali.

Katanya, perang di Gaza memperlahankan proses normalisasi dengan Riyadh, namun terdapat potensi baharu untuk menyambung rundingan apabila konflik beransur reda.

Namun, beliau menekankan syarat-syarat yang dipersetujui mestilah tidak menjejaskan keselamatan Israel dan kepentingan negara itu akan tetap dipertahankan sekiranya rundingan tidak mencapai hasil.

Dalam perkembangan berkaitan, Netanyahu mengumumkan Israel akan membuka semula lintasan Rafah selepas ketiga-tiga baki mayat tebusan Hamas diterima.

Beliau turut berharap Mesir membenarkan mana-mana penduduk Gaza yang ingin meninggalkan wilayah tersebut berbuat demikian, selaras dengan pelan 20 perkara Wa­shington yang menetapkan hak tersebut.

Namun Mesir sebelum ini kekal tegas menolak sebarang penghijrahan besar-besaran penduduk Gaza yang dianggap sebagai ‘garisan merah’.

Netanyahu turut mengulas isu keselamatan di Syria, menyatakan perjanjian keselamatan dengan Damsyik adalah pilihan terbaik tetapi Israel tidak akan berkompromi daripada aspek keselamatan sempadan.

Beliau berkata, Israel akan terus melindungi masyarakat minoriti Druze dan tidak akan membenarkan sebarang ancaman muncul dari barat daya Syria, sama ada melalui perjanjian atau tindakan unilateral.

Hubungan Israel-Turkiye yang kembali tegang turut disentuh apabila Netanyahu menyatakan Israel tidak boleh mengetepikan kemungkinan Ankara menjadi ancaman pada masa depan.

Walaupun mengekalkan saluran komunikasi dengan Turkiye, beliau mengakui Israel mengambil langkah-langkah menghalang pengaruh Ankara di Syria, termasuk menggagalkan percubaan kemasukan tentera Turki ke kawasan berhampiran sempadan.

Netanyahu juga mendedahkan rancangan jangka panjang untuk mengurangkan pergantungan Israel terhadap bekalan senjata dari Amerika Syarikat dengan meningkatkan pengeluaran persenjataan dalam negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN