Memo FDA kaitkan 10 kematian kanak-kanak dengan vaksin Covid-19

Memo FDA kaitkan 10 kematian kanak-kanak dengan vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ketua Pegawai Perubatan dan Saintifik Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA), Vinay Prasad dalam satu memo kepada kakitangan agensi itu memaklumkan suntikan vaksin Covid-19 berkemungkinan menyumbang kepada kematian sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak akibat radang jantung.

“Kes kematian ini berkaitan dengan vaksinasi (penilaian kemungkinan/berkemungkinan/kemungkinan oleh kakitangan).

“Ini adalah pendedahan yang sangat besar. Buat pertama kali, FDA akan mengakui vaksin Covid-19 telah menyebabkan kematian kanak-kanak di AS,” tulis Prasad dalam memo bertarikh Jumaat yang dilihat Reuters.

Perubahan itu berlaku ketika Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr. mengubah dasar kerajaan mengenai vaksin Covid-19, mengehadkan akses hanya kepada individu berusia 65 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Kennedy Jr. yang lama dikenali sebagai tokoh anti-vaksin sebelum menyertai pentadbiran Presiden, Donald Trump turut mengaitkan vaksin dengan autisme dan cuba mengubah dasar imunisasi negara.

Semasa penggal pertama Trump ketika pandemik bermula dan seterusnya di bawah bekas Presiden, Joe Biden, pegawai kesihatan AS menyokong kuat vaksin sebagai penyelamat nyawa. Vaksin Covid-19 dilancarkan pada 2020.

Memo itu tidak mendedahkan keadaan kesihatan kanak-kanak terlibat atau pengeluar vaksin.

Penemuan tersebut berdasarkan analisis awal terhadap 96 kematian antara 2021 hingga 2024, di mana Prasad berkata, tidak kurang daripada 10 kematian mempunyai kaitan dengan vaksinasi Covid-19.

“Adalah sukar untuk membaca kes yang melibatkan kanak-kanak berusia 7 hingga 16 tahun yang mungkin meninggal dunia akibat vaksin Covid-19,” tulis Prasad yang turut mengumumkan rancangan untuk memperketat pengawasan vaksin.

Penemuan kajian baharu FDA itu belum diterbitkan dalam jurnal perubatan yang disemak rakan sekerja, lapor New York Times.

Jawatankuasa vaksin Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dijangka bermesyuarat minggu depan.

Pakar Undang-Undang UC Law San Francisco, Dorit Reiss yang menulis mengenai vaksin, mengkritik Prasad kerana mencadangkan perubahan dasar berdasarkan siasatan belum diterbitkan oleh pihak yang tidak diketahui.

“Ini lebih bermasalah kerana kepakaran Prasad bukan dalam bidang vaksin dan ia tetap bermasalah walaupun beliau mempunyai kepakaran tersebut,” ujar Reiss di platform X.

Prasad, seorang pakar onkologi yang lantang mengkritik mandat vaksin dan pelitup muka semasa pandemik, kembali memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Perubatan dan Saintifik FDA pada September.

Beliau menasihati pesuruhjaya FDA dan pegawai kanan lain mengenai isu perubatan dan saintifik yang memberi kesan kepada sains regulatori serta kesihatan awam.

Data CDC menunjukkan 1,071 individu berusia 5 hingga 18 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 dari 4 Januari 2020 hingga 24 Jun 2023.

Walaupun pakar vaksin secara umumnya memuji keberkesanan vaksin Covid-19, memo Prasad berhujah tiada cara untuk memastikan sama ada manfaatnya mengatasi risiko.

Sementara itu, Pesuruhjaya FDA, Marty Makary dalam satu temu bual TV pada Sabtu berkata, vaksin Covid-19 masih berkesan untuk golongan warga emas.

“Suntikan COVID-19 sangat berguna untuk individu berisiko tinggi dan warga emas, terutama apabila ia sepadan dengan virus yang sedang merebak,” kata Makary kepada program Fox and Friends.

Sebuah kajian yang diterbitkan bulan lalu mendapati vaksin yang dikemas kini membantu mencegah penyakit teruk seperti kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan veteran AS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×