KUALA TERENGGANU : Kerajaan negeri Terengganu akan terus mempertahankan hak negeri itu terhadap pembayaran royalti petroleum berdasarkan perjanjian yang dimeterai antara Petronas dengan kerajaan negeri pada 1975.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hak pembayaran tunai petroleum itu tidak boleh diketepikan kerana mempunyai asas perjanjian serta kerangka undang-undang yang perlu dihormati.
Beliau berkata, perjanjian berkenaan dimeterai berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan merupakan dokumen penting dalam menentukan kedudukan hak Terengganu terhadap hasil petroleum.
“Perjanjian ini bukan sekadar catatan sejarah untuk dirujuk apabila perlu, sebaliknya dokumen penting yang mesti diberikan perhatian serius dalam menentukan kedudukan hak pembayaran petroleum kepada Terengganu,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga berpandangan sebarang akta yang diwujudkan selepas perjanjian berkenaan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menafikan hak Terengganu yang telah dipersetujui lebih awal.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan isu penyaluran hasil petroleum yang menurutnya tidak lagi diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan negeri sejak berlakunya pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.
Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha melalui pelbagai saluran bagi memastikan hak Terengganu terhadap hasil petroleum itu dikembalikan seperti sepatutnya.
Beliau turut berharap keadaan berkenaan dapat dipulihkan sekiranya berlaku perubahan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.-UTUSAN











