Mahu raih sokongan untuk Republikan, Trump cadang beri AS$2,000 kepada rakyat AS - Utusan Malaysia

Mahu raih sokongan untuk Republikan, Trump cadang beri AS$2,000 kepada rakyat AS

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan kerajaan menyalurkan bayaran ‘dividen’ sekurang-kurangnya AS$2,000 (RM9,500) kepada kebanyakan rakyat negara itu, menurut hantaran beliau di platform Truth Social pada Ahad.

Trump berkata, hanya golongan berpendapatan tinggi akan dikecualikan daripada skim bayaran tersebut, namun beliau tidak menjelaskan paras pendapatan atau tempoh pelaksanaan cadangan itu.

Cadangan tersebut dikemukakan beberapa hari selepas Parti Demokrat mencatat kemenangan dalam beberapa pilihan raya tempatan dan negeri di seluruh negara, termasuk mengekalkan jawatan gabenor di New Jersey dan Virginia serta merampas kerusi Parti Republikan di Georgia.

Susulan perkembangan itu, beberapa pemimpin dalam Parti Republikan mengkritik Trump kerana dikatakan gagal menumpukan perhatian terhadap isu kos sara hidup yang menjadi kebimbangan utama penyokong terasnya.

Kadar inflasi di AS kini kekal sekitar tiga peratus, menyebabkan rakyat terus berdepan kenaikan harga barangan keperluan, manakala pengusaha kecil pula membantah dasar tarif perdagangan kerajaan yang dianggap membebankan.

Dalam hantaran sama, Trump memuji keadaan ekonomi negaranya dengan mendakwa hasil tarif perdagangan akan menjana “trilion dolar” bagi membantu mengurangkan hutang negara.

Beliau turut menggambarkan AS sebagai ‘negara terkaya dan paling dihormati di dunia’, sambil mendakwa ‘hampir tiada inflasi’ serta pasaran saham kini mencatatkan rekod tertinggi.

Namun begitu, penganalisis ekonomi memberi amaran terhadap risiko ledakan kecerdasan buatan (AI) yang dikhuatiri boleh menyebabkan pemberhentian besar-besaran pekerja dan peningkatan kos tenaga, selain isu kos perumahan tinggi di bandar-bandar besar seperti New York.

Trump sebelum ini pernah mengutarakan idea pembayaran tunai kepada rakyat, namun tidak melaksanakannya pada ketika itu. Cadangan terbaharunya dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×