Lelaki menang RM1,749 baring 33 jam atas tilam

Lelaki menang RM1,749 baring 33 jam atas tilam

PESERTA pusingan terakhir yang masih bertahan diminta mengangkat kaki dan tangan bagi menambah elemen fizikal sebelum pemenang diumumkan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Seorang lelaki China berusia 23 tahun berjaya membawa pulang hadian wang tunai 3,000 yuan (RM1,749) selepas memenangi pertandingan berbaring di atas tilam paling lama dengan catatan masa selama 33 jam 35 minit.

Pertandingan yang ditaja oleh sebuah jenama tilam tempatan itu bermula pada pukul 10.18 pagi (waktu tempatan) 15 November lalu di sebuah pusat beli-belah di Baotou, Mongolia di utara China, menurut laporan Xiaoxiang Morning Herald.

Nama pertandingan itu diambil daripada istilah slanga popular ‘tang ping’ dalam bahasa Cina yang merujuk kepada sikap menolak kerja keras dan hanya melakukan usaha minimum untuk meneruskan hidup. 

Sikap ini semakin popular dalam kalangan anak muda, didorong tekanan sosial yang semakin meruncing dan pasaran pekerjaan yang mencabar.

Dalam pertandingan itu, sesiapa yang mampu berbaring di atas tilam tanpa duduk, meninggalkan tilam atau pergi ke tandas untuk tempoh paling lama akan dikira sebagai pemenang.

Para peserta dibenarkan untuk memusingkan badan, membaca buku dan bermain telefon bimbit atau memesan makanan bungkus dan makan sambil berbaring secara meniarap.

Sekitar 240 orang menyertai pertandingan itu dengan kebanyakannya memakai lampin bagi mengatasi masalah ke tandas, namun 186 orang menarik diri dalam tempoh kurang daripada satu hari, menurut laporan tersebut.

Selepas tempoh 33 jam 9 minit berlalu, hanya tiga orang yang masih bertahan. Penganjur kemudian meningkatkan tahap kesukaran dengan mengarahkan tiga peserta terakhir itu mengangkat tangan dan kaki mereka serentak.

Akhirnya, lelaki berusia 23 tahun itu menjadi satu-satunya peserta yang masih bertahan dalam pertandingan berkenaan.

“Saya tidak membuat banyak persiapan. Di tengah-tengah pertandingan, saya terfikir untuk menyerah kalah. Tetapi teman wanita saya menyuruh saya meneruskannya,” katanya yang enggan dikenali.

Acara tersebut disiarkan secara langsung di media sosial dan menarik 10 juta tontonan serta kira-kira lapan juta komen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN