KHARTOUM: Lebih 81,000 penduduk terpaksa meninggalkan bandar El-Fasher dan kampung berhampiran di negeri Darfur Utara, Sudan sejak 26 Oktober akibat pertempuran berterusan, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) pada Rabu.
IOM berkata, angka sementara itu dianggarkan melalui Displacement Tracking Matrix dan boleh berubah selaras dengan keadaan keselamatan yang tidak menentu serta perpindahan penduduk yang berlaku dengan cepat.
Majoriti mereka yang terpaksa berpindah masih berada di kawasan El-Fasher, manakala sebahagian kecil berpindah ke lokaliti Kabkabiya, Mellit, Kutum dan Tawila.
Selain Darfur Utara, perpindahan kecil turut dilaporkan di negeri lain termasuk Kosti di White Nile, Ghbeish di Kordofan Barat, pusat dan utara Jebel Marra di Darfur Tengah, Al-Junaynah Barat dan Kulbus di Darfur Barat, Shaeria di Darfur Timur serta Jebel Timur dan Al-Wihda di Darfur Selatan.
Pasukan lapangan melaporkan keadaan jalan yang sangat tidak selamat, menyukarkan pergerakan, manakala situasi keselamatan di kawasan terbabit dilaporkan tegang dan mudah berubah.
Pengambilalihan El-Fasher oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 26 Oktober turut disertai pembunuhan orang awam, mencetuskan amaran kawalan itu boleh mengekalkan pembahagian geografi negara.
UNICEF memberi amaran keluarga yang melarikan diri ke Tawila menghadapi keperluan yang semakin meningkat lebih cepat daripada sumber tersedia.
Mereka tiba dalam keadaan letih, lapar dan memerlukan bantuan segera, termasuk pemakanan terapeutik, air bersih serta perkhidmatan kesihatan untuk kanak-kanak.
Agensi itu menegaskan bantuan semasa tidak mencukupi bagi menampung keperluan yang mendesak, manakala usaha pemberian bantuan sedang giat dijalankan bersama rakan kongsi.
RSF kini menguasai semua lima negeri di Darfur kecuali beberapa kawasan utara di Darfur Utara yang masih di bawah kawalan tentera Sudan.










