LONDON: Dua gergasi teknologi dunia, Google dan Amazon didakwa membantu Israel mengelak daripada siasatan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang Amerika Syarikat (AS) dan negara lain, dalam satu pendedahan mengejutkan melalui penyiasatan oleh +972 Magazine, Local Call, dan The Guardian.
Tumpuan laporan tersebut ialah kontrak Project Nimbus bernilai AS$1.2 bilion (RM5.03 bilion) yang ditandatangani pada 2021, bertujuan menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) kepada kerajaan Israel.
Selama ini, butiran kontrak itu dirahsiakan, namun dokumen bocor daripada Kementerian Kewangan Israel kini mendedahkan perincian yang mengejutkan termasuk perjanjian untuk mengelak arahan undang-undang antarabangsa secara rahsia.
Menurut dokumen itu, Google dan Amazon bersetuju memberi amaran senyap kepada Israel sekiranya pihak berkuasa atau mahkamah luar negara meminta data yang disimpan di pelayan mereka.
Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada Israel untuk campur tangan sebelum maklumat berkenaan diserahkan kepada pihak luar, satu tindakan yang dikatakan boleh melanggar undang-undang kerahsiaan AS.
Lebih mencurigakan, kontrak tersebut dikatakan mengandungi mekanisme rahsia yang dikenali sebagai ‘winking mechanism’, iaitu cara halus untuk memaklumkan Israel tanpa meninggalkan jejak rasmi. Melalui sistem ini, syarikat akan menghantar bayaran simbolik dalam mata wang shekel berdasarkan kod dail antarabangsa negara yang membuat permintaan data.
Sebagai contoh, jika mahkamah AS membuat permintaan, Google atau Amazon akan menghantar 1,000 shekel (RM1,288) manakala untuk Itali mereka akan menghantar 3,900 shekel (RM5.207). Jika sumber permintaan tidak dapat dikenal pasti, bayaran tetap sebanyak 100,000 shekel (RM128,898) akan dibuat.
Bekas pendakwa raya AS yang ditemu bual oleh The Guardian menyifatkan kaedah itu sebagai muslihat yang terlalu licik dan menegaskan bahawa mahkamah tidak akan memandang ringan terhadap cubaan mengelak perintah undang-undang seperti ini.
Lebih membimbangkan, kontrak tersebut turut menjamin bahawa Israel boleh menggunakan semua perkhidmatan Google dan Amazon tanpa sebarang sekatan, walaupun penggunaan itu melanggar hak asasi manusia atau undang-undang antarabangsa.
Peruntukan ini dikatakan dibuat selepas tekanan global meningkat terhadap syarikat teknologi agar memutuskan hubungan dengan Israel berhubung tindakan tenteranya di Gaza dan Tebing Barat.
Berbeza dengan Microsoft yang dilaporkan telah menamatkan akses ketenteraan Israel kepada perkhidmatan awan selepas pendedahan mengenai pemantauan haram terhadap rakyat Palestin, Google dan Amazon sebaliknya berjanji untuk tidak mengenakan sekatan terhadap Israel dalam apa jua keadaan di bawah perjanjian Nimbus itu.
Pakar hak asasi manusia menegaskan, pendedahan ini mengukuhkan kebimbangan bahawa syarikat teknologi besar kini bersekongkol dalam pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah perang.
Kandungan rahsia kontrak itu menunjukkan wujudnya usaha terancang oleh Israel untuk melindungi diri daripada tindakan undang-undang antarabangsa dan kesediaan syarikat global untuk menutup mata demi keuntungan dan kepentingan strategik. -AGENSI










