Konflik dengan Thailand, Kemboja pindahkan penduduk

Konflik dengan Thailand, Kemboja pindahkan penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Kerajaan Kemboja memindahkan ratusan penduduk dari sebuah kampung berhampiran sempadan yang dipertikaikan dengan Thailand, sehari selepas seorang penduduk maut dalam insiden tembakan antara kedua-dua negara.

Tembakan pada Rabu itu berlaku dua hari selepas seorang askar Thailand kehilangan sebahagian kaki akibat jerangkap samar ketika melakukan rondaan di kawasan sempadan lain.

Thailand menuduh Kemboja bertanggungjawab terhadap letupan itu dan menggantung pelaksanaan gencatan senjata yang sebelum ini dirunding dengan campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Walaupun perjanjian damai ditandatangani bulan lalu, banyak syarat dalam perjanjian itu masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Sekitar 250 keluarga dari Kampung Prey Chan di wilayah Banteay Meanchey dipindahkan ke sebuah kuil Buddha sejauh 30 kilometer dari kawasan sempadan, menurut Timbalan Gabenor wilayah berkenaan, Ly Sovannarith.

Perkembangan ini berlaku selepas satu lagi insiden pada September lalu di kampung sama yang menyaksikan pertembungan antara pasukan keselamatan Thailand dan penduduk Kemboja, walaupun ketika itu tiada korban jiwa dilaporkan.

Perdana Menteri Hun Manet menggesa siasatan bebas dijalankan bagi memastikan keadilan kepada mangsa tembakan, sambil menegaskan Kemboja akan terus menghormati syarat gencatan senjata.

Tentera Thailand pula menuduh tentera Kemboja melepaskan tembakan ke arah wilayah Sa Kaeo, dan mendakwa pihaknya hanya melepaskan tembakan amaran sebagai tindak balas.

Negara itu juga menyifatkan tuduhan Kemboja mengenai mereka sengaja mencetuskan konflik dan menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia adalah tidak benar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×