BAITULMUQADDIS: Mahkamah Israel di Tel Aviv semalam membebaskan Ketua Peguam Tentera, Yifat Tomer-Yerushalmi dan mengarahkan beliau dikenakan tahanan rumah selama 10 hari.
Tomer-Yerushalmi ditahan pada Isnin lalu berhubung pendedahan video yang menunjukkan askar Israel menyeksa tahanan Palestin dan tempoh tahanannya dilanjutkan pada Rabu.
Menurut keputusan mahkamah, beliau hanya dibenarkan keluar dari rumah dengan kebenaran unit penyiasat dan untuk bertemu peguamnya sahaja.
Tomer-Yerushalmi juga dilarang menghubungi mana-mana individu yang terlibat dalam kes berkenaan selama 55 hari, kata laporan penyiar awam, KAN.
Siasatan kini menumpukan kepada bagaimana rakaman yang diambil di penjara Sde Teiman, tempat askar Israel dilihat memukul dan mencederakan tahanan Palestin, boleh bocor dari unit tenteranya.
Rakaman tersebut, yang tersebar pada Julai 2024, memaparkan tahanan berkenaan dipukul dan diserang hingga cedera parah.
Tomer-Yerushalmi mengaku bertanggungjawab terhadap kebocoran itu apabila beliau meletak jawatan pada 31 Oktober 2025, dengan alasan pendedahan video tersebut bertujuan menangkis propaganda palsu terhadap sistem keadilan tentera, menurut media Israel.
Dalam perkembangan berkaitan, polis menemukan telefon bimbit milik Tomer-Yerushalmi yang dilaporkan hilang hujung minggu lalu, lapor KAN.
“Orang awam menemukan sebuah telefon bimbit di pantai Herzliya, dan polis sedang menyiasat sama ada ia milik bekas pendakwa tentera itu,” lapor penyiar KAN.
Polis dalam satu kenyataan mengaku menerima laporan penemuan telefon tersebut, sambil memaklumkan peranti berkenaan dirampas dan siasatan sedang dijalankan.
Saluran Channel 12 kemudian memetik sumber polis yang mengesahkan telefon bimbit yang ditemukan itu milik bekas pendakwa tentera berkenaan.
Menurut akhbar Haaretz, Israel membebaskan tahanan Palestin yang didera itu pada Oktober 2025 ke Gaza, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Hamas atau kumpulan pembela tahanan Palestin setakat ini.
Akhbar itu turut melaporkan, selepas video penyeksaan itu tersebar, tokoh-tokoh sayap kanan menyerang dan mengecam Tomer-Yerushalmi, manakala anggota pembangkang mengkritik tindakan hasutan terhadap beliau.
Menteri Pertahanan, Israel Katz, kemudian menegaskan Tomer-Yerushalmi ‘tidak akan kembali ke jawatannya berikutan seriusnya tuduhan yang dikaitkan dengannya’.
Menurut pertubuhan hak asasi manusia Palestin dan Israel, kini terdapat lebih 10,000 rakyat Palestin dipenjarakan di Israel, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang berdepan seksaan, kebuluran dan pengabaian perubatan, keadaan yang menyebabkan ramai tahanan maut.- ANADOLU










