Kazakhstan ikut langkah Russia haramkan propaganda LGBTQ - Utusan Malaysia

Kazakhstan ikut langkah Russia haramkan propaganda LGBTQ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASTANA: Parlimen Kazakhstan meluluskan rang undang-undang anti-LGBTQ semalam, mengikut jejak langkah Russia, ketika Presiden Kassym-Jomart Tokayev berada di Moscow bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin.

Menurut kenyataan Mäjilis, rang undang-undang itu melarang penyebaran maklumat yang dianggap mengandungi propaganda pedofilia atau orientasi seksual tidak tradisional di ruang awam, media serta platform dalam talian.

Langkah berkenaan bertujuan melindungi kanak-kanak daripada kandungan yang boleh menjejaskan kesihatan dan perkembangan mereka.

Rang undang-undang itu masih memerlukan kelulusan Senat sebelum diwartakan menjadi undang-undang. Parti pemerintah yang diterajui Tokayev menguasai majoriti di Mäjilis, sekali gus memudahkan proses meluluskan rang undang-undang berkenaan.

Kazakhstan merupakan sekutu rapat Russia di Asia Tengah dan tindakan itu seiring larangan Moscow pada 2022 terhadap propaganda LGBTQ.

Undang-undang Russia ketika itu turut memperluas larangan penyebaran maklumat berkaitan LGBTQ kepada golongan bawah umur seperti yang ditetapkan sejak 2013.

Langkah Kazakhstan itu menerima kecaman hebat daripada pertubuhan pembela hak LGBTQ tempatan yang menuduh pemimpin negara tersebut tunduk kepada tekanan Russia.

Aktivis Zhanar Sekerbayeva mempersoalkan sama ada Kazakhstan benar-benar bertindak sebagai sebuah negara berdaulat atau sekadar mengikut telunjuk Moscow.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa turut menyelar rang undang-undang itu, dengan tujuh pertubuhan termasuk Human Rights Watch mengeluarkan kenyataan bahawa langkah tersebut melanggar komitmen hak asasi manusia yang dipersetujui Kazakhstan.

Mereka berpendapat larangan itu bukan sahaja gagal melindungi golongan muda malah menggalakkan diskriminasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×