Jutawan G20 boleh hapuskan kemiskinan

Jutawan G20 boleh hapuskan kemiskinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHANNESBURG: Golongan jutawan di negara ekonomi utama dunia meraih pendapatan sebanyak AS$2.2 trilion (RM9.14 trilion) tahun lalu dan jumlah itu mencukupi menghapuskan kemiskinan global hanya dalam tempoh setahun, menurut laporan Oxfam menjelang Sidang Kemuncak G20 hujung minggu ini.

Kekayaan terkumpul jutawan di 19 negara G20 melonjak kepada AS$15.6 trilion (RM64.9 trilion), sedangkan kos tahunan untuk membantu 3.8 bilion penduduk yang hidup di bawah garis kemiskinan hanya AS$1.65 trilion (RM6.9 trilion).

Sebagai tuan rumah, Afrika Selatan akan mengemukakan cadangan menubuhkan Panel Antarabangsa mengenai Ketidaksamaan pada sidang 22-23 November, sebuah badan yang berfungsi seperti Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC).

Pengarah Eksekutif Oxfam, Amitabh Behar, berkata panel tersebut mampu menyelaraskan tindakan antarabangsa dalam mengekang jurang kaya-miskin.

Oxfam turut menggesa cukai yang lebih adil dikenakan terhadap golongan kaya bagi membiayai usaha membasmi kemiskinan dan menangani krisis iklim yang semakin meruncing.

Oxfam menegur Amerika Syarikat (AS) yang memboikot sidang Johannesburg kerana mengamalkan dasar perdagangan dan kewangan yang disifatkan sebagai ‘merosakkan’, termasuk tarif tidak bertanggungjawab, potongan cukai regresif dan pengurangan bantuan kemanusiaan, yang didakwa hanya menambah tekanan terhadap negara miskin.

Oxfam turut memberi amaran 3.4 bilion penduduk kini hidup di negara yang membelanjakan lebih banyak untuk bayaran faedah hutang berbanding pendidikan atau kesihatan.

Sidang G20 pertama di Afrika ini diharap dapat mengangkat isu mendesak yang membelenggu benua itu serta negara-negara Global Selatan sebelum jawatan presiden bergilir diserahkan kepada AS pada 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN