COLOMBO: Sri Lanka merayu bantuan antarabangsa selepas negara itu dilanda banjir besar dan hujan ekstrem akibat Taufan Ditwah yang setakat ini meragut 123 nyawa, manakala 130 lagi hilang.
Menurut Pusat Pengurusan Bencana (DMC), hampir 15,000 kediaman musnah, memaksa 44,000 penduduk berlindung di pusat pemindahan sementara kerajaan.
Ketua Pengarah DMC, Sampath Kotuwegoda, berkata operasi menyelamat dipertingkatkan dengan penyertaan ribuan anggota tentera darat, laut dan udara.
“Setakat ini, kami mengesahkan 123 mangsa terkorban dan 130 hilang. Operasi bantuan giat dijalankan dengan kerjasama penuh angkatan tentera,” katanya pada sidang media di Colombo.
Walaupun taufan berkenaan bergerak menjauhi Sri Lanka menuju ke India, kesan kemusnahannya masih ketara dengan banjir dan tanah runtuh berlaku di beberapa daerah, termasuk Kandy, terletak 115 kilometer dari ibu negara.
Kemudahan komunikasi turut terjejas apabila kabel gentian optik putus dan menara telekomunikasi ditenggelami air, menyebabkan banyak kawasan terputus hubungan.









