BERLIN: Keputusan Jerman membawa masuk empat ekor keldai dari Gaza untuk ditempatkan di sebuah pusat haiwan di Oppenheim mencetuskan tanda tanya besar apabila negara itu dalam masa sama tidak menerima kanak-kanak Gaza yang memerlukan rawatan dan perlindungan.
Tindakan tersebut mengundang kecaman ramai yang mempersoalkan bagaimana haiwan diberi keutamaan sedangkan manusia termasuk kanak-kanak yang cedera akibat perang dinafikan peluang untuk diselamatkan.
Sejak Oktober 2023, Jerman tidak menerima kemasukan rakyat Gaza, termasuk mereka yang mempunyai pasport Jerman, walaupun negara itu mempunyai tanggungjawab memindahkan warganya dari zon konflik.
Berbeza dengan negara Eropah lain seperti Sepanyol yang menerima sejumlah kanak-kanak Gaza untuk rawatan, Jerman hanya dipercayai menerima dua kanak-kanak dalam tempoh lebih dua tahun.
Usaha beberapa bandar Jerman untuk menempatkan lebih ramai pesakit Gaza juga tidak dibenarkan kerajaan Persekutuan atas alasan keselamatan dan prosedur kemasukan yang rumit.
Laporan Allgemeine Zeitung yang menggambarkan keldai itu sebagai mangsa kelaparan dan penderaan turut menimbulkan kritikan kerana naratif sama jarang digunakan media Jerman terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Pemerhati melihat empati diberikan kepada haiwan jauh mengatasi perhatian terhadap keadaan psikologi, fizikal dan kemanusiaan penduduk Gaza yang berdepan penindasan lebih dahsyat.
Turut dipersoalkan ialah bagaimana keldai tersebut dibawa keluar dari Gaza.
Menurut zoo Oppenheim, haiwan itu diselamatkan oleh sebuah NGO kebajikan haiwan Israel yang mendakwa membawa keluar puluhan keldai dari wilayah terbabit. Media sebelum ini melaporkan tentera Israel turut mengangkut ratusan keldai dari Gaza ke ladang di Israel atas alasan “penyelamatan haiwan”, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai operasi itu di tengah kawasan perang.










