Jepun terbit siri baharu adiwira popular Space Sheriff Gavan

Jepun terbit siri baharu adiwira popular Space Sheriff Gavan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Siri adiwira popular pada era 1980-an dan 1990-an, Space Sheriff Gavan bakal muncul semula pada tahun hadapan menerusi rancangan baharu berjudul Super Space Sheriff Gavan Infinity.

Pengumuman itu dibuat syarikat produksi Jepun, Toei pada Isnin lalu yang menyatakan siri berkenaan akan menjadi judul pertama dalam francais baharu mereka, Project RED, singkatan kepada ‘Records of Extraordinary Dimensions’.

Menurut Toei, francais itu memberi tumpuan kepada watak adiwira berwarna merah dan sebagai memenuhi konsep tersebut, watak utama Gavan Infinity akan tampil dengan sut pertempuran logam merah.

“Dengan sut metaliknya yang ikonik dan impak yang sukar dilupakan pada era 80-an, Space Sheriff Gavan menjadi karya legenda yang bukan sahaja memikat penonton Jepun, malah peminat di luar negara.” ujarnya dalam satu kenyataan.

Syarikat itu menegaskan walaupun mengekalkan elemen asal seperti rekaan adiwira unik dan gaya fiksyen sains berlatarkan angkasa lepas, versi 2026 ini adalah suatu karya yang berbeza sepenuhnya.

Tambah Toei, kemajuan teknologi masa kini seperti kecerdasan buatan (AI), eksplorasi angkasa dan industri angkasa yang suatu ketika dahulu dianggap masa depan kini menjadi realiti dan membolehkan penjenamaan semula Gavan dilakukan dengan lebih moden.

Super Space Sheriff Gavan Infinity dijadualkan disiarkan di televisyen pada 2026, menggantikan slot masa yang kini diisi francais Super Sentai, yang dilaporkan bakal menamatkan tayangannya selepas siri semasa, Number One Sentai Gozyuger.

Siri asal Space Sheriff Gavan disiarkan di Jepun dari Mac 1982 hingga Februari 1983 dengan menampilkan bintang Kill Bill, Kenji Ohba, sebagai Retsu Ichijouji, pegawai Space Sheriff yang ditugaskan untuk melindungi dunia.

Selepas bertahun-tahun tamat tayangan, siri itu kembali meraih gelombang peminat baharu di Asia Tenggara apabila RTM menyiarkannya, sekali gus memperkenalkannya kepada penonton di Malaysia dan Singapura.

Malah, popularitinya mencetuskan kemunculan perkataan ‘gaban’ dalam leksikon Melayu, merujuk kepada kuantiti atau saiz besar, diinspirasikan terus daripada nama watak tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN