JAKARTA: Promoter perjudian menggunakan taktik pemasaran menipu untuk menjangkau pengguna Indonesia di platform Meta, walaupun wujud dasar syarikat dan tindakan keras kerajaan terhadap amalan haram ini.
Siasatan AFP mendapati berpuluh-puluh iklan perjudian berbayar menyamar sebagai kandungan tidak berbahaya bagi mengelak larangan Meta terhadap promosi perjudian di Indonesia.
Perjudian dalam talian dan luar talian termasuk pengiklanannya adalah haram di negara itu, tetapi sektor ini masih menghasilkan berbilion dolar setiap tahun.
Meta berpotensi dikenakan tindakan kerajaan jika tidak menangani pelanggaran ini.
Iklan di Facebook, Instagram dan Threads kelihatan mempromosikan permainan video atau rawatan penyakit seperti diabetes, tetapi ia mengalihkan pengguna ke laman web pertaruhan.
“Ini sangat membimbangkan. Saya syak sasaran mereka adalah orang yang suka bermain permainan, jadi kanak-kanak juga boleh melihat iklan ini,” kata seorang pemain permainan Indonesia, Zee, 32, yang menemui iklan tersebut di Instagram.
Seorang pengguna media sosial lain berusia 24 tahun yang mahu dikenali sebagai Moli berkata, dia sentiasa melaporkan iklan seperti ini di Instagram tetapi ia tetap muncul semula.
Meta tidak memberi komen, tetapi hampir 24 iklan yang dikongsi AFP sebagai sampel kemudian dipadam.
Pihak berkuasa Indonesia berkata, mereka sudah menurunkan lebih daripada 5.7 juta kandungan dalam talian berkaitan perjudian sepanjang lapan tahun lalu.
Polis juga memperketat penguatkuasaan, dengan sekurang-kurangnya 85 pempengaruh ditangkap tahun lalu kerana mempromosikan pertaruhan dalam talian.
Hukuman adalah berat, termasuk penjara sehingga 10 tahun, manakala perjudian itu sendiri boleh dihukum penjara sehingga empat tahun.
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital berkata, mereka kerap meminta platform media sosial menurunkan kandungan berkaitan perjudian dan mengeluarkan surat amaran jika permintaan tidak diendahkan.
Oktober lalu, kementerian itu menggantung sementara lesen operasi TikTok kerana platform tersebut enggan memberikan data berkaitan aktiviti langsung dari akaun yang disyaki terlibat dalam perjudian dalam talian.
Kajian diterbitkan firma penyelidikan Indonesia, Populix menunjukkan 98 peratus pengguna media sosial di negara itu pernah terdedah kepada promosi perjudian termasuk iklan berbayar.
Daripada jumlah itu, 32 peratus mengatakan mereka akhirnya mencuba perjudian dalam talian selepas melihat iklan tersebut dalam media sosial mereka.
Sebelum ini dilaporkan 80 peratus pengguna perjudian dalam talian adalah pelajar dan individu dari latar belakang berpendapatan rendah.-AFP










