ISTANBUL: Pertubuhan pejuang Palestin, Hamas menyambut baik keputusan mahkamah Turki mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta 36 pegawai kanan Israel lain bagi tuduhan genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Waran tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendakwa Raya Istanbul, yang menyasarkan beberapa pegawai tertinggi Israel termasuk Menteri Pertahanan Israel Katz, Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir, Ketua Angkatan Tentera Eyal Zamir dan Komander Tentera Laut Israel, David Saar Salama.
Dalam satu kenyataan, Hamas menyifatkan langkah itu sebagai ‘tindakan terpuji yang mencerminkan pendirian tulen rakyat dan kepimpinan Turkiye’ dalam mempertahankan keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan sejati dengan rakyat Palestin yang masih berdepan satu daripada peperangan pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat dalam sejarah moden.
“Kami menyeru semua kerajaan dan badan kehakiman antarabangsa supaya mengeluarkan waran undang-undang untuk menjejaki para pemimpin Zionis di mana sahaja mereka berada, dan membawa mereka ke muka pengadilan atas jenayah terhadap kemanusiaan yang telah dilakukan,” kata Hamas.
Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Sejak Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel di Gaza dilaporkan mengorbankan hampir 69,000 orang yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 170,000 yang lain, sebelum serangan itu dihentikan berikutan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.










