JAKARTA: Gempa bumi berkuasa 6.6 skala Richter menggegarkan pulau Simeulue, di barat Sumatera, pada Khamis, namun tiada laporan kerosakan atau amaran tsunami dikeluarkan setakat ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gempa yang berlaku pada 11.56 pagi waktu tempatan pada kedalaman 25 kilometer itu menyebabkan penduduk bertempiaran keluar dari rumah dan bangunan sebaik gegaran dirasai.
“Saya sedang duduk di kedai kopi, tiba-tiba meja bergoyang. Ramai orang berlari keluar dari bangunan dan rumah,” kata seorang penduduk, Ahmadi, kepada AFP.
Katanya, gegaran itu berlangsung agak lama, “mungkin sekitar tujuh saat atau lebih,” disusuli beberapa gegaran susulan yang lebih pendek. Setakat ini, katanya, belum ada maklumat mengenai sebarang kerosakan.
Pusat amaran tsunami Lautan Hindi mengesahkan tiada ancaman tsunami selepas kejadian itu, manakala Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) merekodkan gempa tersebut pada magnitud 6.3 dengan kedalaman 10 kilometer, dan turut menegaskan gegaran itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami.
Indonesia, sebuah negara kepulauan besar di Asia Tenggara, sering berdepan aktiviti seismik kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, zon pertembungan beberapa plat tektonik utama dunia.
Kawasan itu meliputi rantau dari Jepun hingga Asia Tenggara sebelum merentasi lembangan Pasifik yang terkenal dengan kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi.
Negara itu sebelum ini pernah digegar beberapa gempa besar, termasuk gempa 6.2 magnitud di Sulawesi pada 2021 yang meragut lebih 100 nyawa serta gegaran 7.5 magnitud di Palu pada 2018 yang disusuli tsunami dan mengorbankan lebih 2,200 orang.









