Flu burung berisiko cetus pandemik lebih teruk daripada Covid-19 - Utusan Malaysia

Flu burung berisiko cetus pandemik lebih teruk daripada Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Virus selesema burung yang semakin menular dalam haiwan ternakan serta mamalia boleh mencetuskan pandemik lebih dahsyat daripada Covid-19 sekiranya ia bermutasi sehingga mampu merebak antara manusia, menurut ketua pusat jangkitan pernafasan Institut Pasteur, Perancis.

Virus influenza avian berpatogenik tinggi, atau flu burung telah mengakibatkan ratusan juta unggas dimusnahkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menjejaskan bekalan makanan dan melonjakkan harga meskipun jangkitan dalam kalangan manusia masih jarang berlaku.

“Apa yang kami bimbangkan ialah virus ini menyesuaikan diri kepada mamalia, khususnya manusia, dan akhirnya mampu menular dari manusia ke manusia. Ketika itu ia berpotensi menjadi virus pandemik,” kata Marie-Anne Rameix-Welti, pengarah perubatan pusat jangkitan pernafasan Institut Pasteur, kepada Reuters.

Institut Pasteur merupakan antara makmal Eropah terawal yang membangunkan dan berkongsi ujian pengesanan COVID-19, dengan protokol disediakan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan makmal global.

Menurut Rameix-Welti, manusia mempunyai antibodi terhadap influenza bermusim H1 dan H3, namun tiada perlindungan terhadap virus H5 yang kini menjangkiti burung serta mamalia sama seperti ketiadaan imuniti ketika kemunculan Covid-19 dahulu.

Berbanding Covid-19 yang kebanyakannya menjejaskan golongan berisiko, virus influenza berupaya mengorbankan individu sihat termasuk kanak-kanak.

“Pandemik flu burung mungkin akan menjadi amat serius, mungkin lebih teruk daripada pandemik yang pernah kita alami,” katanya di makmalnya di Paris.

Terdapat banyak kes jangkitan H5 dalam kalangan manusia sebelum ini, termasuk H5N1 yang kini merebak dalam ternakan ayam dan lembu tenusu di Amerika Syarikat (AS), namun kebanyakannya melibatkan kontak rapat dengan haiwan yang dijangkiti.

Kes pertama H5N5 dalam manusia dikesan di negeri Washington bulan ini, dan lelaki tersebut yang mempunyai penyakit asas meninggal dunia minggu lalu.

Dalam laporan terbarunya, WHO menyatakan hampir 1,000 wabak flu burung dalam manusia direkodkan antara 2003 dan 2025 terutamanya di Mesir, Indonesia dan Vietnam dengan kadar kematian 48 peratus.

Bagaimanapun, risiko pandemik flu burung melibatkan manusia masih rendah, kata Gregorio Torres, ketua Jabatan Sains di Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia.

“Kita perlu bersiap siaga untuk bertindak awal. Namun buat masa ini, anda masih boleh berjalan di hutan, makan ayam dan telur, serta menikmati hidup. Risiko pandemik itu wujud, tetapi dari segi kebarangkalian, ia masih sangat rendah,” katanya.

Menurut Rameix-Welti lagi, jika virus flu burung bermutasi sehingga boleh menular antara manusia, dunia kini lebih bersedia berbanding sebelum Covid-19.

“Kelebihan flu berbanding Covid ialah kita sudah mempunyai langkah pencegahan khusus. Kita ada calon vaksin sedia untuk dihasilkan dengan cepat.

“Kita juga mempunyai stok antiviral khusus yang secara prinsipnya boleh berkesan terhadap virus influenza avian ini,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN