Enjin tercabut sebelum nahas pesawat kargo UPS di Kentucky, 11 maut - Utusan Malaysia

Enjin tercabut sebelum nahas pesawat kargo UPS di Kentucky, 11 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 11 orang terkorban dalam nahas pesawat kargo milik syarikat penghantaran terkemuka Amerika Syarikat (AS), United Parcel Service (UPS) di Kentucky pada Selasa, selepas satu daripada enjinnya terbakar dan tercabut ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali.

Pesawat jenis McDonnell Douglas MD-11 itu dalam perjalanan menuju ke Hawaii sebelum terhempas kira-kira lima kilometer dari lapangan terbang pada 5.15 petang (waktu tempatan).

Insiden tragis itu turut menyebabkan beberapa bangunan berhampiran musnah apabila pesawat berkenaan meletup dan terbakar sejurus terhempas.

Menurut Gabenor Kentucky, Andy Beshear, jumlah korban dijangka meningkat kepada 12 orang apabila operasi mencari beberapa individu yang masih hilang diteruskan.

Beliau menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu tragedi yang amat menyayat hati dan tidak dapat dibayangkan.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) yang menjalankan siasatan mengesahkan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan enjin kiri pesawat tercabut daripada sayap ketika sedang berlepas. Walaupun serpihan pesawat bertaburan sehingga 800 meter, enjin kiri masih berada di kawasan lapangan terbang.

Pesawat yang membawa kira-kira 38,000 gelen bahan api itu nyaris melanggar kilang pemasangan kenderaan Ford yang terletak bersebelahan kemudahan utama UPS di Louisville.

Rakaman video menunjukkan enjin terbakar sewaktu pesawat cuba meninggalkan landasan, manakala pasukan bomba berusaha memadamkan api besar yang menjulang tinggi di lokasi nahas.

Menurut NTSB, pesawat tersebut dibina pada tahun 1991 sebelum diubah suai menjadi pesawat kargo. Syarikat pembuatnya, McDonnell Douglas, bergabung dengan Boeing pada 1996. Dalam kenyataan rasmi, Boeing menyatakan kesediaan membantu siasatan dengan menyediakan bantuan teknikal kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, UPS mengesahkan operasi penyusunan bungkusan di hab utamanya, Worldport, dihentikan sementara susulan kejadian itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN