Dron untuk genosid di Palestin kini digunakan pantau bandar AS - Utusan Malaysia

Dron untuk genosid di Palestin kini digunakan pantau bandar AS

PENDUDUK Palestin mencari mayat di bawah runtuhan bangunan akibat serangan udara tentera Israel di Gaza City. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dron pemantauan berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang digunakan oleh tentera Israel dalam serangan ke atas Gaza kini dilaporkan sedang digunakan secara meluas di seluruh Amerika Syarikat (AS) untuk memantau penunjuk perasaan dan orang awam.

Menurut laporan oleh ¡Do Not Panic! dan The Grayzone, dron autonomi buatan syarikat berpangkalan di AS, Skydio, telah dihantar ke Israel pada peringkat awal serangan ke atas Gaza, di mana ia diuji dalam situasi peperangan sebenar.

Kini, dron sama digunakan oleh ratusan agensi penguat kuasa undang-undang AS di bandar-bandar utama seperti New York, Chicago, Miami dan Atlanta bagi tujuan pemantauan dan pengumpulan data visual berskala besar.

Dilaporkan, dron ini kini beroperasi dalam lebih 800 agensi keselamatan dan polis di AS, meningkat mendadak daripada hanya 320 pada Mac 2024.

Dron keluaran Skydio direka untuk tugas pemantauan dan ketenteraan, mampu menavigasi kawasan tanpa isyarat GPS, menjejak individu menggunakan imejan terma dan pengecaman wajah, serta memuat naik rakaman terus ke pangkalan data berasaskan awan yang digunakan oleh pihak berkuasa.

Perkara ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis hak sivil dan kumpulan anti-pengawasan, khususnya kerana dron tersebut dilaporkan turut digunakan untuk memantau penunjuk perasaan anti-genosid.

Sistem AI yang menggerakkan dron ini dijalankan menggunakan cip Nvidia, manakala maklumat yang dikumpul akan dimuat naik secara automatik ke dalam Axon Evidence, sistem bukti digital milik syarikat AS Axon yang turut terkenal dengan pembuatan pistol renjat.

Axon merupakan pelabur utama Skydio serta turut membekalkan peralatan kepada polis dan perkhidmatan penjara Israel yang dituduh menyeksa tahanan Palestin secara sistematik.

Hubungan Skydio dengan kompleks ketenteraan Israel juga luas. Syarikat itu mengekalkan pejabat di Israel dan bekerjasama dengan DefenceSync, sebuah kontraktor dron tentera yang membekalkan peralatan kepada tentera penjajah Israel.

Selain itu, Skydio turut menerima pelaburan daripada firma modal teroka Israel-AS yang diasaskan oleh tokoh berpengaruh pro-Israel serta bekas pegawai siber dan eksekutif teknologi tentera Israel. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN