COPENHAGEN: Denmark akan mengharamkan penggunaan platform media sosial bagi individu di bawah 15 tahun bagi memastikan kesihatan mental remaja terpelihara.
Menteri Pendigitalan Denmark, Caroline Stage Olsen, berkata media sosial mencuri masa dan menjejaskan kesejahteraan kanak-kanak. Namun, pengecualian boleh diberikan kepada pengguna berusia 13 tahun ke atas sekiranya mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga.
Langkah ini menjadikan Denmark negara kedua selepas Australia yang mengharamkan akses media sosial kepada remaja.
Australia pula menguatkuasakan pengharaman kepada pengguna bawah 16 tahun mulai 10 Disember ini, dengan denda maksimum A$49.5 juta (RM134 juta) bagi platform yang gagal mematuhi peraturan.
Olsen menegaskan, kelonggaran untuk pengguna berusia 13 tahun ke atas hanya terpakai untuk beberapa platform tertentu yang belum diumumkan kerajaan Denmark.
Antara platform yang dikecualikan daripada penguatkuasaan termasuk Discord, GitHub, LEGO Play, Roblox, Steam, Steam Chat, Google Classroom, Messenger, WhatsApp dan YouTube Kids.
Langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan Denmark untuk memastikan dunia digital tidak menjejaskan perkembangan mental dan kesejahteraan kanak-kanak serta remaja di negara itu.









