Data lokasi telefon pegawai EU, NATO dijual

Data lokasi telefon pegawai EU, NATO dijual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Satu siasatan bersama beberapa media utama Eropah mendedahkan ratusan juta data lokasi telefon bimbit di Belgium, termasuk milik kakitangan institusi Kesatuan Eropah (EU), ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta pangkalan tentera, telah dijual kepada broker data.

Laporan penyiasatan oleh L’Echo, Le Monde, penyiar awam Jerman BR dan ARD, Netzpolitik.org, serta BNR Nieuwsradio mendapati beberapa aplikasi mudah alih yang mengumpul data lokasi pengguna telah membenarkan maklumat tersebut dijual semula kepada pihak ketiga, meskipun data itu secara rasmi dilabel sebagai “anonim.”

Siasatan berkenaan menunjukkan data tersebut mampu digunakan untuk menjejaki pergerakan individu dengan tepat termasuk lokasi kediaman, tempat kerja dan kawasan yang kerap dikunjungi sekali gus menimbulkan risiko keselamatan, khususnya bagi mereka yang berkhidmat di institusi sensitif dan berprofil tinggi.

Menurut laporan itu, telefon bimbit dikesan berada dalam kawasan infrastruktur utama seperti loji tenaga nuklear Doel dan Tihange, penjara keselamatan tinggi, ibu pejabat NATO di Brussels, serta Supreme Headquarters Allied Powers Europe (SHAPE) di Mons.

Telefon juga dikesan di beberapa pangkalan tentera Belgium termasuk Kleine-Brogel, lokasi yang dipercayai menyimpan senjata nuklear Amerika Syarikat (AS).

Seorang pegawai NATO memberitahu akhbar L’Echo, pihaknya menyedari sepenuhnya risiko umum yang berpunca daripada pengumpulan data oleh pihak ketiga dan telah melaksanakan langkah-langkah untuk mengurangkan risiko tersebut, namun enggan mengulas lanjut meskipun terdapat lebih 1,000 telefon bimbit dilaporkan telah dikesan di kawasan NATO.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Belgium memaklumkan penggunaan telefon pintar di semua kawasan sensitif adalah dilarang sama sekali.

Data yang diperoleh wartawan itu dibeli daripada broker yang mengumpul maklumat melalui pelbagai aplikasi mudah alih.

Walaupun data tersebut dijual bagi tujuan pemasaran dan pengiklanan, pakar memberi amaran gabungan beberapa set data boleh membawa kepada pengenalpastian semula individu yang kononnya anonim.

Para penyiasat turut mendedahkan mereka berjaya mengenal pasti beberapa pegawai kanan Eropah, termasuk tiga individu berpangkat tinggi dalam institusi EU, berdasarkan padanan lokasi rumah dan tempat kerja mereka.

Suruhanjaya Eropah menyifatkan pendedahan itu sebagai sesuatu yang amat membimbangkan dan menzahirkan kebimbangan terhadap urus niaga melibatkan penjualan data peribadi sedemikian.

Menurut laporan itu lagi, broker data menawarkan akses kepada pangkalan data lokasi di Belgium dengan harga antara AS$24,000 (RM100,675) hingga AS$60,000 setahun (RM251,688), meliputi sehingga 700,000 telefon yang dijejaki setiap hari.

Pakar keselamatan digital turut menegaskan walaupun data tersebut dijual sebagai anonim, ia boleh dikenal pasti semula dengan mudah.

Kajian menunjukkan hanya dengan mengetahui dua titik rujukan seperti rumah dan tempat kerja seseorang sudah mencukupi untuk mengenal pasti identiti individu dengan ketepatan sehingga 95 peratus. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN