WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, ketika Washington meningkatkan kehadiran ketenteraan di rantau berkenaan yang mencetuskan ketegangan antarabangsa.
Dalam masa sama, Trump turut menegaskan beliau ‘tidak keberatan’melaksanakan serangan antidadah di Mexico sekiranya perlu bagi membanteras kartel narkotik.
Trump berkata demikian ketika ditanya pemberita di Pejabat Oval sama ada beliau akan mengadakan perbualan dengan Maduro.
Katanya, pemimpin Venezuela itu ‘tidak pernah berlaku baik terhadap AS’, namun rundingan masih berkemungkinan diadakan.
Apabila ditanya sama ada beliau menolak pilihan menghantar tentera ke Venezuela, Trump menjawab AS tidak akan berperang dengan Venezuela.
“Tidak, saya tidak menolak apa-apa. Kita perlu menjaga Venezuela. Mereka menghantar ratusan ribu tahanan ke negara kita,” katanya.
Venezuela sebelum ini menuduh Washington cuba campur tangan untuk menukar kerajaan di Caracas, susulan penempatan kumpulan kapal induk, kapal perang serta jet pejuang halimunan di perairan berhampiran negara itu.
Washington pula menuduh Maduro mengetuai kartel pengganas dadah, dakwaan yang dinafikan Caracas.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut mengkritik Mexico kerana didakwa gagal membendung aktiviti kartel dadah.
“Adakah saya akan melancarkan serangan di Mexico untuk hentikan dadah? Tiada masalah bagi saya. Apa sahaja yang perlu dilakukan.
“Saya tidak kata saya akan lakukannya, tetapi saya bangga jika perlu. Tindakan itu mampu menyelamatkan berjuta-juta nyawa,” kata Trump.










