AS sanggup gadai tekanan dagangan, Jinping ‘tundukkan’ Trump

AS sanggup gadai tekanan dagangan, Jinping ‘tundukkan’ Trump

TRUMP dan Jinping semasa pertemuan di Busan, Korea Selatan baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengurangkan kadar tarif terhadap barangan import dari China disifatkan sebagai langkah berisiko tinggi yang boleh menjejaskan kekuatan ekonomi serta pengaruh global terhadap negara itu.

Langkah itu dibuat selepas Trump mencapai persetujuan dengan Presiden China, Xi Jinping untuk mengurangkan tarif sebanyak 10 peratus sebagai pertukaran kepada komitmen Beijing membanteras pengedaran dadah sintetik fentanyl yang menjadi punca utama krisis dadah di AS.

Menurut penganalisis, perjanjian baharu itu mungkin boleh memulihkan semula ali­ran perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia yang sebelum ini terjejas akibat perang tarif.

Pengurangan itu akan menurunkan tarif minimum terhadap import China kepada 20 peratus, manakala purata tarif keseluruhan jatuh sekitar 47 peratus.

Kadar tersebut tetap tinggi berbanding kebanyakan rakan dagang AS yang lain, namun masih selaras dengan seluruh dunia.

Keputusan itu dijangka memberi sedikit kelegaan kepada pengguna AS dan memberi ruang kepada barangan China untuk kembali bersaing dalam pasaran Amerika, selepas sekian lama dikenakan tarif tinggi oleh pentadbiran Trump.

Namun, keputusan itu disifatkan sebagai tanda Trump mula ‘beralah’ terhadap tekanan Beijing, selepas Jinping berjaya mengekalkan kelebihan dalam rundingan perdagangan yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Sejarah rundingan yang se­ring berubah-ubah antara ke­dua-dua negara menunjukkan belum tentu AS akan mendapat sebarang manfaat sebenar hasil kelonggaran yang diberikan terhadap tarif berkaitan fentanyl.

Dalam masa sama, tindakan Trump itu berisiko melemahkan lagi hubungan AS dengan sekutu utamanya dan membina hubungan lebih mesra dengan musuh ekonomi terbesarnya.

“Trump bertaruh keadaan kali ini akan berbeza, namun sejarah menunjukkan sebalik­nya,” kata penganalisis CNN, David Goldman.

EMPAT MATLAMAT UTAMA

Trump mempunyai empat matlamat utama apabila mengurangkan tarif terhadap China, iaitu mengurangkan kemasukan fentanyl ke AS, membawa pulang sektor pembuatan ke tanah air, memulihkan imbangan perdagangan dan memastikan penjualan aset TikTok di negara itu.

Pentadbiran beliau dilihat mencapai kemajuan ketara dalam keempat-empat aspek tersebut.

China mendakwa mengambil langkah tegas untuk mengawal eksport bahan kimia asas bagi penghasilan fentanyl dan puluhan syarikat menjanjikan pelaburan berbilion dolar dalam sektor pembuatan AS.

Ini termasuk mencapai jurang perdagangan AS-China di tahap terendah dalam tempoh 21 tahun pada Ogos, manakala Trump dan Jinping bersetuju mengenai rangka perjanjian berkaitan TikTok.

Tetapi, hubungan dingin antara kedua-dua negara turut membawa kesan besar kepada AS.

China mengehadkan eksport mineral nadir bumi serta enggan membeli kacang soya dari AS, yang menjejaskan pendapatan petani Amerika.

Selain itu, Beijing turut menyukarkan operasi beberapa syarikat utama AS melalui siasatan antimonopoli dan mengenakan tarif tinggi terhadap barangan import dari negara itu.

Walaupun beberapa pusi­ngan rundingan diadakan, China terus melengah-lengahkan pelaksanaan janji kepada pentadbiran Trump.

Isu mineral nadir bumi khususnya menjadi penghalang utama, apabila jaminan awal mengenai pasaran bebas bahan itu tidak pernah direalisasikan.

Beijing sebaliknya memperketatkan lagi kawalan eks­portnya dengan memperluas sekatan berkenaan awal bulan ini.

Di bawah perjanjian yang dicapai kelmarin, China bersetuju untuk membatalkan semula beberapa peraturan baharu tersebut, namun sekatan asal yang diperkenalkan pada April masih berkuat kuasa.

KEMENANGAN DIPLOMATIK

“Jadi, mengapa Trump memilih untuk membuat perjanjian dengan China mengenai isu fentanyl, sedangkan Jinping berulang kali gagal menunaikan janji sebelum ini?

“Pertama, China mengambil tindakan sebenar dalam membanteras fentanyl, seperti menambah dua lagi bahan kimia penting yang digunakan untuk penghasilannya ke dalam senarai bahan terkawal negara itu,” kata Goldman.

Trump pada Khamis memuji ‘tindakan tegas’ China dalam membanteras fentanyl dan menjadikannya sebab utama pengurangan tarif AS terhadap barangan negara itu.

Goldman berkata, China juga mempunyai pengaruh besar terhadap AS, dengan dasar tarif Trump seolah-olah ‘makan tuan’ apabila ia mencetuskan kemarahan dalam kalangan petani iaitu kumpulan pengundi penting di negara itu.

“China juga enggan membuka pasaran mereka sepenuhnya kepada cip kecerdasan buatan (AI) dari AS, sedangkan langkah itu merupakan matlamat utama Trump untuk mengukuhkan dominasi Amerika dalam bidang tersebut.

“Bagaimanapun, tarif kekal sebagai alat tekanan utama yang dimiliki Trump, meskipun China menemukan pasaran lain di luar AS untuk menjual barangan mereka, sekali gus mengurangkan kesan sekatan tarif Amerika,” katanya.

Pada masa sama, pengurangan tarif merupakan antara tuntutan utama China dan pertemuan Trump dengan Jinping pada Khamis menjadi satu lagi kemenangan diplomatik bagi Beijing.

Dalam satu kenyataan ringkas kelmarin, China memaklumkan pihaknya akan membuat ‘penyesuaian’ terhadap langkah balas tarif berkaitan fentanyl, selepas Trump bersetuju untuk mengurangkan kadar itu kepada separuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN