WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mempercepatkan proses pemberian visa kepada pelawat asing yang memiliki tiket perlawanan Piala Dunia FIFA yang akan berlangsung tahun depan di 11 bandar di negara itu, kata Presiden AS, Donald Trump pada Isnin.
Washington akan mewujudkan sistem penjadualan temu janji temu duga visa yang memberi keutamaan kepada penyokong luar negara yang menghadiri perlawanan Piala Dunia yang dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai. Mexico dan Kanada turut menjadi tuan rumah bersama.
Trump berkata kepada pemberita di Pejabat Oval bahawa agensi kerajaan akan memastikan peminat bola sepak dari seluruh dunia disaring dengan betul dan dapat memasuki AS dengan mudah musim panas akan datang.
Beliau berkata, pentadbirannya telah mempercepatkan proses pengeluaran visa di kebanyakan negara, dengan masa menunggu kini 60 hari atau kurang. Trump turut menyatakan bahawa Piala Dunia dijangka menjana AS$30 bilion (RM125.27 bilion) dan mewujudkan 200,000 pekerjaan.
Setiausaha Negara Marco Rubio berkata Jabatan Negara telah menambah 400 pegawai konsular bagi memproses visa, sekali gus menggandakan kehadiran pegawai di beberapa negara.
“AS menawarkan temu janji berkeutamaan supaya penyokong dapat melengkapkan temu duga visa mereka dan membuktikan kelayakan,” kata Rubio.
Di Rumah Putih, Presiden FIFA Gianni Infantino berkata, antara 5 hingga 10 juta orang dijangka datang ke AS untuk menyaksikan perlawanan.
Setakat ini, lebih sejuta tiket telah dibeli oleh peminat dari 212 negara, menurut FIFA.
Dalam kenyataan, badan induk bola sepak dunia itu berkata pemegang tiket akan menerima maklumat lanjut mengenai sistem temu janji visa berkeutamaan tersebut pada awal 2026.










