AS, China sepakat wujudkan saluran komunikasi tentera elak ketegangan - Utusan Malaysia

AS, China sepakat wujudkan saluran komunikasi tentera elak ketegangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan China bersetuju menubuhkan saluran komunikasi ketenteraan bagi mengelak salah faham dan mengurangkan risiko ketegangan, susulan pertemuan bersejarah antara Presiden Donald Trump dan Xi Jinping, menurut Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.

Dalam kenyataan di platform X pada Sabtu, Hegseth berkata keputusan itu dicapai selepas panggilan telefon dengan Menteri Pertahanan China, Dong Jun, malam sebelumnya.

Beliau berkata, kedua-duanya juga sudah bertemu di Malaysia selepas sidang kemuncak Trump–Xi di Korea Selatan, dan sepakat keamanan, kestabilan serta hubungan baik adalah jalan terbaik untuk kedua-dua negara besar ini.

“Laksamana Dong dan saya bersetuju untuk mewujudkan saluran komunikasi ketenteraan bagi menyelesaikan dan mengurangkan sebarang isu yang mungkin timbul,” katanya.

Beijing setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pengumuman tersebut.

Pakar keselamatan sejak sekian lama menggesa AS dan China mengekalkan komunikasi langsung antara angkatan tentera, memandangkan kedua-dua kuasa besar itu beroperasi secara meluas di rantau Asia Pasifik. Saluran terus ini dianggap penting untuk mengelak salah tafsir atau eskalasi tidak disengajakan.

Bagaimanapun, hubungan komunikasi tersebut sering terganggu dan tidak konsisten sejajar dengan turun naik hubungan dua hala.

Menurut laporan Center for Strategic and International Studies (CSIS) pada Mei lalu, lebih 90 saluran komunikasi antara kerajaan AS dan China menjadi tidak aktif sepanjang penggal pertama Trump (2017–2021).

China kemudian memutuskan baki saluran komunikasi tentera pada 2022 semasa pentadbiran Presiden Joe Biden, selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS ketika itu, Nancy Pelosi, ke Taiwan yang dianggap Beijing sebagai wilayahnya.

Hubungan semakin tegang selepas itu apabila berlaku beberapa insiden hampir bertembung antara tentera AS dan China di Laut China Selatan dan Selat Taiwan.

Antaranya termasuk dakwaan AS jet pejuang China terbang melintasi pesawat pengintip AS secara agresif dan berbahaya pada Mei 2023, serta insiden kapal pemusnah China memintas laluan kapal tentera laut AS sebulan kemudian dalam tindakan yang disifatkan sebagai tidak selamat. – ALJAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN