‘Api merebak dengan cepat, situasi amat menakutkan’

‘Api merebak dengan cepat, situasi amat menakutkan’

PASUKAN bomba memadam kebakaran di blok pangsapuri yang terbakar di Hong Kong. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Kebakaran besar yang memusnahkan tujuh daripada lapan blok pangsapuri setinggi 31 tingkat di Tai Po, Hong Kong sejak petang Rabu menyaksikan angka korban meningkat 83 orang.

Api yang belum padam sepenuhnya menyebabkan penduduk berhimpun di pusat perlindungan sementara bagi mendapatkan perkembangan mengenai ahli keluarga mereka.

Bunyi perancah buluh meletup dan terbakar, diikuti kepulan asap hitam menjulang tinggi, menambah suasana cemas di kawasan berkenaan.

Penduduk setempat berkata, api merebak begitu pantas dari satu bangunan ke bangunan lain, ditiup angin kuat.

“Saya nampak ia merebak dari satu bangunan kepada tiga, kemudian empat. Memang menakutkan,” kata penduduk, Veezy Chan, 25.

Di pusat perlindungan, suasana penuh emosi apabila keluarga mangsa termenung sambil menatap skrin telefon, mengharapkan khabar tentang insan tersayang yang hilang.

Pekerja sosial mengagihkan selimut dan bantal kepada warga emas yang terpaksa bermalam di situ.

“Bayangkan rumah hilang, terbakar. Sesiapa pun akan sedih dan kecewa,” kata Shirley Chan.

Seorang penduduk berusia 65 tahun, Yuen, berkata ramai warga emas di kawasan itu bergantung pada kerusi roda atau alat sokongan berjalan, menyebabkan usaha menyelamat sukar.

Kejadian bertambah buruk apabila kompleks kediaman tersebut dalam penyelenggaraan, menyebabkan ramai penduduk menutup tingkap dan tidak mendengar penggera kebakaran.

Sukarelawan dan orang awam turut tampil memberikan bantuan kecemasan dengan menghantar bekalan ke pusat perlindungan.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee berkata, operasi mengawal kebakaran menunjukkan perkembangan positif, walaupun api yang marak pada peringkat awal diisytiharkan sebagai kebakaran tahap lima, iaitu tahap kecemasan tertinggi.

Katanya, tiga individu ditahan setakat ini kerana didakwa menyebabkan kematian dalam insiden berkenaan.

Lebih 128 jentera bomba dan hampir 800 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala beberapa laluan utama di sekitar kawasan itu terpaksa ditutup.

Siasatan awal menunjukkan kebakaran berkemungkinan berpunca daripada perancah buluh di bahagian luar bangunan yang disambar api.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN