SEATTLE: Seorang jurugambar hidupan liar di perairan berhampiran Seattle, Amerika Syarikat (AS) merakam detik dramatik apabila seekor anjing laut melompat atas botnya bagi menyelamatkan diri daripada sekumpulan paus pembunuh (orca).
Charvet Drucker, yang menaiki bot sewaan sepanjang 6 meter di sekitar Kepulauan Salish Sea kira-kira 64 kilometer barat laut Seattle, ternampak sekurang-kurangnya lapan ekor orca yang bergerak dalam formasi seperti memburu.
Melalui lensa zoom kameranya, Drucker melihat seekor anjing laut cuba melarikan diri dan melalui satu daripada gambarnya menunjukkan haiwan itu ‘melayang’ di udara ketika dikejar orca sebelum menyedari haiwan itu berada di atas botnya.
Mengikut peraturan hidupan laut, enjin bot perlu dimatikan bagi mengelak risiko kecederaan terhadap mamalia laut berkenaan dan dalam kekalutan itu, anjing laut tersebut melompat ke pelantar belakang bot berhampiran enjin sekaligus menjadikannya tempat perlindungan sementara.
Drucker hanya mampu merakam video kerana peraturan melarang sebarang gangguan atau sentuhan terhadap hidupan liar.
Kumpulan orca itu bagaimanapun tidak berputus asa dan dipercayai bekerjasama menggoyangkan bot dalam usaha menolak anjing laut itu kembali ke laut.
Video yang dirakam menggunakan telefon bimbit menunjukkan orca menyelam secara berselang-seli untuk menghasilkan ombak, teknik dikenali sebagai “wave-washing” yang pernah direkodkan sejak 1980-an oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).
Anjing laut itu sempat terjatuh ke laut sekali, tetapi berjaya memanjat semula ke pelantar bot sebelum kumpulan orca beredar selepas kira-kira 15 minit.











