Angka korban banjir di Vietnam meningkat 90 orang

Angka korban banjir di Vietnam meningkat 90 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Angka kematian akibat banjir besar di Vietnam meningkat kepada 90 orang, dengan 12 lagi masih hilang, menurut kementerian alam sekitar pada Ahad, susulan hujan lebat berterusan dan kejadian tanah runtuh.

Hujan tanpa henti melanda kawasan selatan dan tengah Vietnam sejak akhir Oktober, menyebabkan beberapa destinasi pelancongan popular terjejas oleh beberapa siri banjir besar.

Beberapa kawasan di bandar pesisir Nha Trang ditenggelami air minggu lalu, manakala tanah runtuh meragut nyawa berlaku di laluan pergunungan sekitar pusat pelancongan Da Lat.

Di wilayah pergunungan Dak Lak yang paling teruk terjejas, seorang petani berusia 61 tahun, Mach Van Si, berkata, air banjir memaksa dia dan isterinya berlindung di atas bumbung rumah logam selama dua malam.

“Kawasan kejiranan kami musnah sepenuhnya. Tiada apa yang tinggal. Semuanya dipenuhi lumpur.

“Saya cuma fikir kami akan mati kerana tiada jalan keluar,” katanya kepada AFP pada Ahad.

Lebih 60 kematian sejak 16 November direkodkan di Dak Lak, di mana puluhan ribu rumah ditenggelami air, menurut kenyataan kementerian alam sekitar.

Lebih 80,000 hektar padi serta tanaman lain di Dak Lak dan empat wilayah lain musnah dalam tempoh seminggu terakhir, manakala lebih 3.2 juta ternakan dan unggas mati atau dihanyutkan arus banjir.

Pihak berkuasa menggunakan helikopter untuk menjatuhkan bantuan dari udara ke komuniti yang terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh.

Kerajaan turut mengerahkan puluhan ribu anggota untuk mengagihkan pakaian, tablet penapis air, mi segera dan bekalan lain ke kawasan terjejas, menurut media kerajaan Tuoi Tre News.

Banjir teruk di wilayah pantai selatan Khanh Hoa turut merosakkan dua jambatan gantung minggu lalu, menyebabkan banyak isi rumah terasing, menurut pegawai yang dipetik oleh media tersebut.

Beberapa lokasi di lebuh raya nasional kekal ditutup pada Ahad akibat banjir atau tanah runtuh dengan beberapa laluan kereta api masih digantung perkhidmatannya.

Lebih 129,000 penduduk masih bergelap di kediaman mereka selepas lebih sejuta terputus bekalan elektrik minggu lalu.

Kementerian alam sekitar menganggarkan kerugian ekonomi akibat banjir itu mencecah AS$343 juta (RM1.4 bilion) di lima wilayah.

Bencana alam meragut lebih 279 nyawa atau menyebabkan kehilangan orang di Vietnam dan mengakibatkan kerosakan lebih AS$2 bilion (RM8.3 bilion) dari Januari hingga Oktober, menurut pejabat statistik negara.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN