16 negara diancam kebuluran – PBB

16 negara diancam kebuluran – PBB

KANAK-kanak Palestin menghulurkan periuk kosong untuk mendapatkan makanan di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Dua agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran berjuta-juta penduduk di seluruh dunia berisiko menghadapi kebuluran, susulan kekurangan dana yang semakin meruncing.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Program Makanan Sedunia (WFP) dalam laporan bersama pada Rabu berkata, konflik dan keganasan menjadi punca utama peningkatan krisis kekurangan makanan di kebanyakan negara berisiko tinggi.

Antara negara yang berada pada tahap paling kritikal ialah Haiti, Mali, Palestin, Sudan Selatan, Sudan dan Yaman, dengan penduduknya kini berdepan risiko kebuluran besar-besaran dalam masa terdekat.

Negara lain yang turut disenaraikan sebagai ‘berisiko tinggi’ termasuk Afghanistan, Republik Demokratik Congo, Myanmar, Nigeria, Somalia dan Syria, selain Burkina Faso, Chad, Kenya serta pelarian Rohingya di Bangladesh.

“Kita kini berada di ambang bencana kebuluran yang boleh dielakkan, namun mengancam kelaparan besar-besaran di beberapa negara,” kata Pengarah Eksekutif WFP, Cindy McCain.

Beliau memberi amaran kegagalan bertindak segera hanya akan meningkatkan ketidakstabilan, penghijrahan dan konflik di rantau terjejas.

Laporan itu mendedahkan, dana bantuan kemanusiaan kini berada pada tahap kritikal, dengan hanya AS$10.5 bilion (RM43 bilion) diterima daripada jumlah keseluruhan AS$29 bilion (RM119.7 bilion) yang diperlukan bagi membantu golongan berisiko tinggi.

Akibat pemotongan dana, WFP terpaksa mengurangkan bantuan kepada pelarian dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, selain menggantung program bantuan makanan sekolah di beberapa negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN