KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, merayu kepada sekutu Barat supaya memperkukuh sistem pertahanan udara negaranya, sambil memberi amaran Russia mengambil kesempatan daripada tumpuan dunia yang kini beralih ke Asia Baray untuk menggandakan serangan udara terhadap Ukraine.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, usaha diplomatik bagi menamatkan pencerobohan Russia yang sudah berlarutan lebih tiga tahun dilaporkan semakin buntu, manakala Moscow memperhebatkan serangan ke atas infrastruktur tenaga Ukraine, menyebabkan ratusan ribu penduduk terputus bekalan elektrik menjelang musim sejuk.
Dalam perbualan telefon berasingan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pada Ahad, Zelensky meminta tambahan peluru berpandu dan bantuan memperkukuh keupayaan jarak jauh tenteranya.
“Russia kini mengambil kesempatan apabila dunia memberi tumpuan penuh terhadap isu Asia Barat dan masalah domestik masing-masing,” kata Zelensky.
Trump sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, pada Ogos lalu namun gagal mencapai sebarang persetujuan damai.
Dalam panggilan terbaharu dengan Trump yang merupakan kali kedua dalam tempoh dua hari, Zelensky berkata kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh keupayaan pertahanan Ukraine.
“Kami bersetuju pasukan tentera kedua-dua negara akan melaksanakan segala yang telah dibincangkan,” katanya tanpa memperincikan butiran lanjut.
Pihak Rumah Putih setakat ini belum memberikan sebarang komen mengenai panggilan tersebut.
Zelensky sejak beberapa minggu lalu giat melobi Washington supaya membekalkan peluru berpandu jarak jauh Tomahawk kepada Kyiv, permohonan yang sedang dipertimbangkan oleh Rumah Putih.
Moscow bagaimanapun memberi amaran penghantaran senjata itu akan menjejaskan hubungan dengan AS serta mencetuskan satu lagi pusingan ketegangan baharu.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, dalam amaran kerasnya semalam berkata Russia boleh menganggap sebarang pelancaran peluru berpandu itu sebagai serangan nuklear.
“Bayangkan, satu peluru berpandu jarak jauh dilancarkan dan kami tahu ia berpotensi membawa kepala peledak nuklear. Apa yang harus difikirkan oleh Persekutuan Russia?” katanya kepada televisyen milik kerajaan.
Sejak perang bermula, jutaan rakyat Ukraine terpaksa meninggalkan rumah mereka, sementara Russia kini menguasai sekitar satu perlima wilayah Ukraine sebahagian besar daripadanya musnah akibat pertempuran berterusan. -AGENSI