KUALA LUMPUR: Pegawai ekonomi kanan Amerika Syarikat (AS) dan China bertemu di Kuala Lumpur bagi membincangkan kaedah terbaik untuk mengelak daripada berlakunya perdagangan antara kedua-dua negara.
Perbincangan yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu bertujuan mencari penyelesaian selepas Presiden Donald Trump mengancam mengenakan tarif 100 peratus terhadap barangan China dan sekatan perdagangan lain bermula 1 November.
Tindakan itu diambil susulan kawalan eksport China terhadap magnet dan mineral nadir bumi yang diperluaskan secara mendadak.
Langkah terbaharu ini, termasuk senarai hitam eksport AS yang diperluaskan untuk ribuan syarikat China mengganggu gencatan perdagangan yang dirancang oleh Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, dan Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng, dalam empat rundingan sebelum ini sejak Mei.
Pertemuan pada Sabtu cuba membuka jalan bagi pertemuan Trump dan Presiden Xi Jinping pada Khamis depan semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Korea Selatan.
Perbincangan berisiko tinggi ini dijangka memberi tumpuan kepada pengurangan sementara tarif, kawalan teknologi, dan pembelian soya AS oleh China.
Pertemuan ini adalah penting untuk mengelak daripada kenaikan tarif tiga angka yang berlaku pada April lalu apabila Trump mengenakan tarif global yang meluas, dan China membalas dengan menghentikan bekalan nadir bumi kepada pembeli AS.
Bessent dan Greer sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Lifeng di Geneva pada Mei lalu, menghasilkan gencatan 90 hari yang menurunkan tarif kepada 55 peratus di pihak AS dan 30 peratus di pihak China, serta menyambung semula aliran magnet.
Gencatan itu dilanjutkan dalam rundingan seterusnya di London dan Stockholm, dan dijadualkan tamat pada 10 November.
Bagaimanapun, gencatan itu mulai renggang pada akhir September apabila Jabatan Perdagangan AS memperluas senarai hitam eksport secara besar-besaran, manakala China bertindak balas dengan kawalan eksport nadir bumi baharu pada 10 Oktober.
Trump turut menambah ketegangan dengan mengumumkan siasatan tarif baharu terhadap kegagalan China memenuhi perjanjian perdagangan Fasa Satu 2020, yang menghentikan perang perdagangan antara kedua-dua negara pada penggal pertama Trump.










