Trump yakin semua tebusan Gaza akan dibebaskan Isnin ini

Trump yakin semua tebusan Gaza akan dibebaskan Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau yakin semua tebusan yang ditahan di Gaza, termasuk mayat mereka yang terkorban akan dibawa pulang pada Isnin ini susulan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

“Banyak perkara sedang dilakukan untuk membebaskan tebusan dan kami percaya mereka semua akan kembali pada Isnin termasuk jasad mereka yang telah meninggal dunia,” kata Trump dalam temu bual telefon bersama saluran Fox News.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas beliau mengumumkan pelan damai 20 perkara yang bertujuan menamatkan perang dua tahun di Gaza yang telah memusnahkan wilayah itu dan mencetuskan krisis kemanusiaan besar-besaran.

Menurut Trump, di bawah pelan berkenaan, kumpulan pejuang Palestin Hamas akan membebaskan semua tebusan manakala Israel akan mengundurkan tenteranya ke garisan yang telah dipersetujui selepas rundingan di Mesir menghasilkan persetujuan.

Beliau turut menyatakan keyakinan perjanjian itu boleh memberi kesan lebih luas kepada kestabilan serantau termasuk melibatkan penyertaan Iran, musuh lama Israel dan Washington.

“Ini lebih daripada sekadar Gaza. Ini adalah keamanan di Asia Barat,” katanya kepada Fox News sambil menambah beliau percaya Iran sebenarnya akan menjadi sebahagian daripada keseluruhan usaha damai ini.

“Seluruh dunia telah bersatu menyokong perjanjian ini,” ujar Trump lagi, menyifatkannya sebagai sesuatu yang baik untuk Israel, umat Islam, negara Arab dan AS sendiri.

Trump juga mengulangi pandangan lamanya tentang Gaza berpotensi dibangunkan semula menjadi hab ekonomi yang makmur sekiranya keamanan dapat dikekalkan, sambil menegaskan AS akan terlibat dalam usaha tersebut.

“Gaza akan menjadi sebuah tempat yang dibangunkan semula dengan bantuan negara-negara jiran yang mempunyai kekayaan besar, dan mereka mahu melihat perkara itu berlaku.

“Kami akan turut terlibat membantu menjadikannya berjaya dan mengekalkan keamanan di sana,” tambah beliau.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN