Jerman beri kuasa kepada polis tembak jatuh dron

Jerman beri kuasa kepada polis tembak jatuh dron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Kerajaan Jerman akan memberi kuasa kepada polis persekutuan untuk menembak jatuh dron yang menceroboh ruang udara negara itu, susulan beberapa insiden yang mengganggu operasi lapangan terbang di Eropah dan dikaitkan oleh sesetengah pemimpin Eropah dengan perang hibrid oleh Russia.

Undang-undang baharu itu, yang diluluskan kabinet pada Rabu dan menunggu kelulusan Parlimen, membenarkan polis menembak jatuh dron yang melanggar ruang udara Jerman sekiranya ia menimbulkan ancaman serius atau bahaya besar.

Antara kaedah lain termasuk penggunaan laser atau gangguan isyarat (jamming) untuk memutuskan kawalan dan sistem navigasi dron tersebut.

“Insiden melibatkan dron mengancam keselamatan kita. Kita tidak akan membenarkan perkara itu berulang. Kita memperkukuh kuasa Polis Persekutuan supaya dron dapat dikesan dan dinetralkan dengan lebih pantas pada masa depan,” kata Canselor, Friedrich Merz dalam satu hantaran di platform X.

Lapor Reuters, langkah itu diumumkan selepas puluhan penerbangan di Lapangan Terbang Munich yang merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Jerman terpaksa dibatalkan atau dilencongkan minggu lalu berikutan beberapa laporan mengenai dron tidak dikenali, menyebabkan lebih 10,000 penumpang terkandas.

Merz berkata, beliau mengandaikan Russia berada di sebalik banyak dron yang terbang di ruang udara Jerman hujung minggu lalu, meskipun tiada yang bersenjata dan dipercayai hanya melakukan penerbangan pengintipan.

Sejak pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada 2022, pemimpin Eropah semakin melihat Moscow sebagai ancaman utama kepada keselamatan benua itu.

Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen, sebelum ini mencadangkan pembinaan tembok dron melibatkan rangkaian sensor dan senjata untuk mengesan, menjejak dan menangkis pesawat tanpa pemandu di sempadan timur Eropah.

Namun, ada pihak berpendapat sebahagian dron yang terlibat mungkin dilancarkan dari dalam Kesatuan Eropah (EU) sendiri.

Dengan undang-undang baharu ini, Jerman menyertai Britain, Perancis, Lithuania dan Romania yang sudah pun memberi kuasa serupa kepada pasukan keselamatan masing-masing.

Menteri Dalam Negeri, Alexander Dobrindt berkata, unit khas anti-dron akan diwujudkan dalam pasukan polis persekutuan dan penyelidik Jerman akan bekerjasama dengan Israel dan Ukraine yang lebih maju dalam teknologi dron.

Polis akan menangani dron yang terbang rendah, sementara tentera akan bertanggungjawab terhadap dron berkeupayaan tinggi.

Data daripada Deutsche Flugsicherung (DFS) menunjukkan Jerman mencatat 172 gangguan berkaitan dron terhadap trafik udara antara Januari hingga September 2025, meningkat daripada 129 pada tempoh sama tahun lalu dan 121 pada 2023.

Dalam latihan tentera di Hamburg bulan lalu, dron tentera besar menembak jaring ke arah dron lebih kecil di udara, menyebabkan ia terperangkap dan jatuh ke tanah sebelum anjing robot dihantar untuk memeriksa bahan letupan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengakui menembak jatuh dron di kawasan bandar padat berisiko tinggi, manakala lapangan terbang pula belum mempunyai sistem pengesanan automatik yang mampu melaporkan pencerobohan secara serta-merta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN