WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mahu bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin, di Budapest, Hungary susulan satu panggilan telefon yang digambarkannya sebagai “sangat produktif”.
Perincian lanjut seperti tarikh rasmi pertemuan masih belum diumumkan, namun Trump menyatakan pegawai kanan kedua-dua negara akan mula membuat persiapan minggu depan.
Pengumuman itu dibuat hanya sehari sebelum Trump dijadualkan bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, di Washington.
Dalam pertemuan itu, Zelensky dijangka sekali lagi merayu agar AS membekalkan peluru berpandu jarak jauh Tomahawk, yang mampu menyerang jauh ke dalam wilayah Russia.
Trump berkata beliau akan memaklumkan kepada Zelensky tentang hasil perbualan dengan Putin dalam mesyuarat di Pejabat Oval.
“Saya percaya perbualan hari ini telah membawa kemajuan besar,” katanya di platform Truth Social.
Pertemuan yang dirancang dengan Putin ini merupakan komunikasi terbuka pertama antara kedua pemimpin sejak perjumpaan mereka di Alaska pada Ogos lalu.
Perkembangan ini berlaku ketika Ukraine terus berdepan serangan besar-besaran dari Russia, termasuk serangan peluru berpandu dan dron ke atas infrastruktur tenaga di lapan wilayah, mengakibatkan gangguan bekalan elektrik dan kerosakan teruk di beberapa kawasan utama.
Syarikat tenaga swasta Ukraine, DTEK, melaporkan gangguan di ibu kota Kyiv serta kerosakan teruk terhadap pengeluaran gas di Poltava.
Syarikat milik kerajaan, Naftogaz, pula mendedahkan kemudahan gas negara telah diserang sebanyak enam kali hanya dalam bulan ini sahaja. Serangan terbaru turut mengenai hospital dan konvoi PBB, mencederakan puluhan orang.
Sebagai tindak balas, Ukraine meningkatkan serangan balas ke wilayah Russia, termasuk loji penapisan minyak di Saratov. Zelensky berpendapat peluru berpandu Tomahawk akan memberi tekanan ketenteraan tambahan terhadap Russia, sekali gus mendorong Putin untuk lebih serius dalam rundingan damai.