WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menegaskan beliau tidak melihat keperluan untuk tentera AS terlibat secara langsung di Gaza, walaupun pasukan tentera negara itu dihantar ke Israel bagi memantau pelaksanaan pelan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
“Tidak, saya tidak nampak keperluan itu, tidak. Saya rasa kita akan uruskan dengan baik,” ujar Trump dalam sidang media di ibu negara pada Rabu.
Trump turut menyatakan pelan gencatan senjata yang dikemukakannya mendapat sokongan daripada banyak negara, termasuk beberapa kuasa ketenteraan utama dunia.
Sebelum ini, pentadbiran Trump mengumumkan penghantaran kira-kira 200 anggota tentera ke Israel. Namun, menurut kenyataan rasmi, tiada anggota pasukan itu akan ditempatkan secara langsung di dalam wilayah Gaza.
Sebahagian daripada pelan Trump untuk menyokong kestabilan di wilayah bergolak itu termasuk cadangan penubuhan pasukan penstabilan antarabangsa, meskipun komposisi dan mandat rasmi pasukan tersebut masih belum dimuktamadkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot memaklumkan Perancis dan United Kingdom bekerjasama merangka satu resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Resolusi itu bertujuan memberikan mandat rasmi kepada pasukan antarabangsa yang boleh beroperasi di Gaza dalam masa terdekat.
Langkah itu dijangka dibincangkan dalam kalangan anggota tetap UNSC dalam beberapa hari akan datang.