Trump pertimbang bekal peluru berpandu Tomahawk kepada Ukraine

Trump pertimbang bekal peluru berpandu Tomahawk kepada Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Ame­rika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan beliau mungkin membekalkan peluru berpandu jarak jauh Tomahawk kepada Ukraine jika Russia masih tidak menghentikan perang di negara itu.

Kata Trump, kenyataan itu boleh disifatkan sebagai amaran kepada Presiden Vladimir Putin yang sehingga kini masih berdegil untuk mengakhiri perang.

“Saya mungkin akan bercakap dengannya (Putin).

“Saya mungkin akan katakan, ‘Lihat, jika perang ini tidak dapat diselesaikan, saya akan hantar Tomahawk kepada mereka (Ukraine),’” kata Trump, merujuk kepada potensi bekalan peluru berpandu melalui sekutu Eropah.

Trump mendedahkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky meminta peluru berpandu Tomahawk dalam perbualan telefon pada Sabtu selain turut membincangkan bantuan senjata baharu untuk Kyiv.

“Tomahawk adalah langkah baharu dalam peningkatan ketenteraan. Adakah mereka (Russia) mahu ia menghala ke arah mereka? Saya rasa tidak, jadi lebih baik tamatkan perang yang sudah berlarutan ini,” kata Trump.

Putin sebelum ini memberi amaran pembekalan senjata berkapasiti canggih dan besar kepada Ukraine akan menyebabkan konflik semakin serius dan menjejaskan hubungan diplomatik antara Moscow dan Washington.

Trump menyifatkan perang di Ukraine yang memasuki tahun keempat sebagai antara konflik paling rumit yang ditangani sejak beliau kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu.

Russia melancarkan pencero­bohan besar-besaran terhadap Ukraine pada Februari 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN