Trump gembira jumpa Jinping, AS kurangkan 10 peratus tarif China

Trump gembira jumpa Jinping, AS kurangkan 10 peratus tarif China

DONALD Trump berbual dengan Xi Jinping di Busan, Korea Selatan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUSAN: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersetuju mengurangkan tarif terhadap China sebagai pertukaran terhadap usaha Beijing mengekang perdagangan fentanyl haram, menyambung semula pembelian kacang soya AS dan memastikan eksport nadir bumi terus berjalan.

Pertemuan empat mata antara Trump dan Jinping di Busan, Korea Selatan merupakan rundingan paling dinantikan dunia dalam lawatan singkat Presiden AS itu ke Asia, di mana beliau turut menguar-uarkan pencapaian perdagangan dengan Seoul, Tokyo dan negara Asia Tenggara lain.

“Saya rasa ia satu pertemuan yang luar biasa,” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One selepas berlepas dari Busan, menilai perbincangan tersebut sebagai 12 daripada 10.

Trump berkata, tarif terhadap import China akan diturunkan kepada 47 peratus daripada 57 peratus dengan mengurangkan separuh kadar tarif berkaitan perdagangan bahan prekursor fentanyl kepada 10 peratus daripada 20 peratus sebelum ini.

“Jinping akan bekerja keras untuk menghentikan aliran fentanyl, opioid sintetik yang menjadi punca utama kematian akibat pengambilan berlebihan di AS. Tarif itu dikurangkan kerana saya percaya mereka benar-benar mengambil tindakan tegas,” katanya.

Dagangan saham global tidak menentu ketika Trump mendedahkan butiran perjanjian tersebut, dengan indeks utama Asia dan niaga hadapan Eropah berubah-ubah antara untung dan rugi.

Indeks Komposit Shanghai jatuh sedikit daripada paras tertinggi 10 tahun, manakala niaga hadapan kacang soya AS turut merosot.

“Buat masa ini, pergerakan harga mencadangkan banyak perkara sudah dijangka pasaran. Pasaran mungkin berharap pemansuhan penuh tarif fentanyl, jadi itu boleh menjelaskan reaksi bercampur-campur dalam pasaran,” kata Penganalisis Kanan Capital.com Melbourne, Kyle Rodda.

Hanya India dan Brazil masih dikenakan tarif lebih tinggi dalam kalangan rakan dagang utama AS.

Pasaran saham dunia dari Wall Street hingga Tokyo mencapai paras rekod sebelum pertemuan itu susulan harapan penyelesaian perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia yang mengganggu rantaian bekalan dan keyakinan perniagaan global.

Pertemuan itu berlangsung hampir dua jam di menjelang Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang berlangsung di lokasi sama.

Trump berkali-kali menyuarakan keyakinan terhadap perjanjian sejak perunding AS pada Ahad mengatakan mereka mencapai rangka kerja yang akan mengelakkan tarif 100 peratus ke atas barangan China dan menangguhkan kawalan eksport nadir bumi, sektor yang didominasi Beijing.

Namun dengan kedua-dua negara semakin bersedia mengambil pendekatan tegas dalam persaingan ekonomi dan geopolitik, banyak persoalan masih timbul tentang berapa lama ‘tempoh bertenang’ ini dapat bertahan.

PERTIKAIAN NORMAL KUASA BESAR

Ketika memulakan rundingan di pangkalan tentera udara Korea Selatan pada pagi Khamis, Jinping menegaskan adalah normal bagi kuasa besar mengalami ketegangan dari semasa ke semasa.

“Beberapa hari lalu, perunding kedua-dua negara mencapai kata sepakat asas untuk menangani kebimbangan utama masing-masing. Saya sedia terus bekerjasama dengan Presiden Trump untuk membina asas kukuh bagi hubungan China-AS,” tambah beliau.

Selain mengurangkan tarif ke atas fentanyl, Beijing turut menggesa pelonggaran kawalan eksport terhadap teknologi sensitif AS, serta pemansuhan semula caj baharu pelabuhan AS ke atas kapal

China yang bertujuan mengekang dominasi global China dalam pembinaan kapal, penghantaran laut dan logistik.

Trump tidak memberi komen segera mengenai konsesi AS, tetapi mengumumkan China akan membeli jumlah besar kacang soya dan produk pertanian dari Washington bermula serta-merta.

Menjelang sidang kemuncak, China membeli kargo kacang soya AS pertama dalam beberapa bulan, lapor Reuters pada Rabu.

Perjanjian perdagangan sebelum ini yang menurunkan tarif balas AS dan memulihkan eksport magnet nadir bumi dari China, akan tamat pada 10 November.

Namun Beijing bertindak memperluaskan kawalannya ke atas nadir bumi secara drastik awal bulan ini.

Mineral itu digunakan dalam segala-galanya daripada kereta hingga jet pejuang di mana Beijing memegang dominasi global.

“Mereka tidak akan mengenakan kawalan nadir bumi itu,” kata Trump kepada pemberita.

Seorang pegawai China mengesahkan kepada AFP Beijing akan menggantung pelaksanaan langkah kawalan eksport nadir bumi yang diumumkan pada 9 Oktober lalu selama setahun dan akan mengkaji serta memperincikan pelan khusus berkaitan.

Trump menandatangani pelbagai perjanjian dengan Jepun dan negara-negara Asia Tenggara bagi mempelbagaikan bekalan nadir bumi sepanjang lawatannya, namun usaha untuk menyaingi dominasi China dalam sektor itu diketahui bakal memakan masa bertahun-tahun.

Beliau turut memaklumkan para pemimpin tidak membincangkan tentang cip kecerdasan buatan Blackwell keluaran Nvidia yang canggih.

Ia sekali gus menarik balik kenyataan sehari sebelumnya mengenai kemungkinan membantu syarikat itu mengeksport versi lebih kecil pemproses GPU utamanya ketika ini, komponen utama dalam persaingan (kecerdasan buatan) AI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN