Trump akan putuskan pembebasan pemimpin Palestin Marwan Barghouti - Utusan Malaysia

Trump akan putuskan pembebasan pemimpin Palestin Marwan Barghouti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau akan memutuskan sama ada akan mendesak pembebasan pemimpin Palestin yang dipenjarakan, Marwan Barghouti, tokoh yang dilihat berpotensi menyatukan rakyat Palestin dalam usaha mencapai penyelesaian dua negara, lapor Anadolu.

“Saya sebenarnya ditanya soalan itu kira-kira 15 minit sebelum anda hubungi, itu adalah soalan saya untuk hari ini. Jadi, saya akan membuat keputusan,” kata Trump kepada Time dalam satu temu bual yang diterbitkan pada Khamis.

Kenyataan itu dibuat ketika Trump membincangkan soal kepimpinan Palestin, sambil menyatakan rakyat Palestin ketika ini tidak mempunyai pemimpin, sekurang-kurangnya yang berkelayakan.

Apabila ditanya mengenai peranan Presiden Autoriti Palestin, Mahmoud Abbas dalam pentadbiran Gaza pascaperang, Trump berkata beliau sentiasa dapat bekerjasama dengannya.

“Saya sentiasa mendapati beliau seorang yang rasional, tetapi mungkin sebenarnya tidak,” katanya.

Barghouti merupakan tokoh kanan Fatah yang sering digelar ‘Mandela Palestin’ kerana pengaruh dan sifat kepimpinannya.

Beliau ditangkap oleh Israel pada 2002 dan dijatuhkan hukuman lima kali penjara seumur hidup serta tambahan 40 tahun atas dakwaan mengarahkan serangan maut terhadap rakyat Israel.

Barghouti sering mendahului tinjauan pendapat dalam kalangan rakyat Palestin mengenai calon pilihan mereka untuk jawatan presiden, menjadikannya tokoh yang berpotensi menyatukan Palestin bagi merealisasikan penyelesaian dua negara. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN