PETALING JAYA: Tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengkaji mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) wajar bagi memastikan penilaian murid lebih menyeluruh.
Pakar pendidikan, Prof. Dr. Abdul Halim Abdullah berkata, sistem yang digunapakai kini hanya menekankan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai penilaian akhir, menyebabkan perkembangan murid sepanjang lima tahun persekolahan tidak dapat dikenal pasti lebih awal.
“Jika UPSR dan PT3 dikembalikan, murid dapat dinilai secara berperingkat. Ini membolehkan guru mengenal pasti kelemahan murid lebih awal dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian sebelum mereka menghadapi peperiksaan besar,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Kelmarin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM akan mengkaji semula keperluan untuk mengembalikan UPSR dan PT3 dan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk melaksanakan kajian berkenaan, tahun ini.
Abdul Halim berkata, sekiranya kedua-dua peperiksaan ini dikembalikan, ia dapat membolehkan murid, guru dan ibu bapa untuk memantau prestasi secara berterusan, seterusnya meningkatkan persediaan menghadapi SPM.
Beliau mencadangkan agar penilaian pada setiap tahap tidak hanya berasaskan peperiksaan, tetapi turut mengambil kira projek, tugasan dan aktiviti ko-kurikulum, bagi memastikan pendidikan lebih holistik.
Menurutnya, pendekatan ini juga memberi peluang kepada murid yang mungkin kurang cemerlang dalam peperiksaan untuk menonjol dalam bidang lain, sekaligus memastikan tiada pelajar yang ketinggalan.
Sebaliknya Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, langkah memperkukuh penguasaan asas membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan pelajar wajar diberi keutamaan berbanding mengembalikan UPSR dan PT3.
Katanya, fokus pendidikan di peringkat awal seharusnya memastikan tiada murid tercicir daripada aspek asas memandangkan lebih 122,000 murid dilaporkan gagal menguasai 3M ketika ini.
“Isu kelemahan penguasaan asas tidak boleh ditangani hanya dengan menghidupkan semula peperiksaan, sebaliknya memerlukan pendekatan pengajaran yang lebih bersasar, intervensi awal dan sokongan menyeluruh di peringkat sekolah.
“Persoalannya, adakah pengembalian UPSR mampu memberi jaminan isu kegagalan literasi dan numerasi ini dapat diselesaikan? Sekolah rendah perlu dibebaskan daripada tekanan peperiksaan berorientasikan gred semata-mata,” katanya.-UTUSAN










